Susut Nilai Deposit: Apakah Maksudnya dan Cara Untuk Mendapatkannya Semula

Seperti dalam mana-mana pasaran kewangan, pedagang dalam pasaran Forex berhadapan dengan pelbagai cabaran. Antara cabaran yang paling ketara adalah susut nilai deposit. Ia adalah satu aspek yang wujud dalam dagangan, dan hampir semua pedagang akan mengalaminya. Walaupun sesetengah daripada mereka mungkin sering mengalaminya berbanding orang lain, ia adalah situasi yang memang tidak dapat dielakkan. Menerima hakikat tentang sifatnya yang tidak dapat dielak dan bersedia secara mental adalah sesuatu yang sangat penting. Lebih-lebih lagi, bersedia dengan strategi yang telah ditetapkan terlebih dahulu untuk pulih semula daripada penurunan tersebut adalah penting; jika tidak, anda berisiko untuk kehilangan semua deposit yang diletakkan.

Apakah Susut Nilai?

Susut nilai (drawdown) merujuk kepada penurunan nilai sesuatu aset pada satu masa dalam tempoh tertentu. Ringkasnya, anda mungkin telah membuka posisi, katakanlah order beli, namun nilainya mula bergerak melawan kehendak anda dan bukannya naik. Disebabkan penurunan itu, semangat anda mula luntur kerana melihat baki akaun dagangan anda semakin berkurangan.

Apa yang boleh dilakukan untuk mengelak daripada senario seperti itu, atau setidak-tidaknya meminimumkan kesan buruk yang diberikannya? Panduan sedia ada menawarkan cadangan-cadangan seperti berikut bagi menghadapinya:

1. Nilai Strategi Anda: Mungkin anda belum biasa dengan keadaan di pasaran tertentu. Uji strategi pada akaun demo. Jika mengalami kerugian, kenal pasti puncanya dan ubah mengikut kesesuaian.

2. Uruskan Risiko: Jangan buka posisi dagangan dengan deposit yang terlalu banyak. Kebiasaannya nilai yang disyorkan adalah tidak lebih daripada 1-2% (paling banyak sekalipun 5%) daripada jumlah deposit untuk satu dagangan.

3. Guna Order Stop Loss: Gunakan order ini bersama-sama semasa membuka posisi. Order seperti ini akan menutup dagangan rugi secara automatik jika paras kerugian yang ditetapkan dicapai.

4. Pelbagaikan: Kembangkan pelaburan anda dalam instrumen berbeza bagi mengurangkan risiko keseluruhan portfolio.

5. Jangan Berhenti Belajar: Pasaran sering berkembang. Justeru, seseorang pedagang itu perlu sentiasa memperkemaskan pengetahuan mereka, sering mengikuti berita-berita terkini, dan memantau analisis pasaran.

6. Tetap Tenang: Jika anda mengalami susut modal, perkara pertama dan paling penting adalah kekal tenang. Bersikap panik hanya akan mendorong kepada keputusan terburu-buru yang boleh memburukkan lagi keadaan.

Traders face a series of challenges on financial market_ms

Apa yang Harus Dilakukan Apabila Berlakunya Susut Nilai?

Keenam-enam petua yang disebutkan tadi adalah benar dan sangat berguna. Namun, seperti yang telah dinyatakan pada awal artikel ini, susut nilai adalah satu fenomena yang tidak boleh dielak dalam pasaran Forex, lambat laun pasti akan dialami oleh setiap pedagang. Kuncinya adalah sentiasa bersedia dan mempunyai tindakan jelas untuk menghadapinya. Mari lihat tiga pendekatan yang mungkin boleh diambil.

1. Cara paling mudah adalah menutup dagangan serta mengehadkan jumlah kerugian. Ini adalah satu cara yang jelas dan mudah, tetapi mencabar dari segi psikologi - bagaimana jika nilainya naik setelah posisi saya ditutup? Jadi, saya boleh mendapat untung! Untung yang sangat besar! Sifat tamak adalah satu desakan yang kuat dalam diri manusia. Order Stop Loss yang telah dibuka terlebih dahulu boleh membantu mengatasi desakan ini. Namun, pengalaman membuktikan bahawa sifat tamak masih boleh menguasai diri. Apabila berdepan situasi sebegini, sesetengah pedagang mengubah kedudukan Stop Loss mereka lebih jauh daripada titik masuknya. Terdapat juga golongan yang langsung tidak menggunakan order ini, lebih gemar untuk “gamble” dan berharap pada tuah. Lagi pun, ada pepatah yang mengatakan, “Lebih banyak untung, lebih tinggi risiko."

2. Maka, posisi anda masih dibuka, dan nilai aset terus menunjukkan penurunan, setiap saat menambah lagi jumlah kerugian yang dialami. Dalam hal sebegini, sesetengah pedagang terpaksa mengambil pilihan No. 2: membuka posisi pada arah bertentangan (tidak semestinya pasangan mata wang sama), secara umumnya melindung kadar risiko mereka. Dalam istilah profesional, tindakan ini juga digelar sebagai “locking” atau “lock.” Namun, wujud pula masalah yang baru di sini. Dengan mengunci posisi anda mengikut kaedah ini, anda hanya menetapkan paras rugi semasa saja. Tidak kiralah sejauh mana kadar turun naik sebut harga pasangan utama dan pasangan lindung risiko nanti, jumlah rugi tetap sama. Bagi meminimumkan jumlahnya (malah boleh mendapat pulangan daripadanya), seseorang itu perlu memilih saat paling menguntungkan untuk menutup salah satu posisi dan kemudian posisi yang selebihnya. Namun, adalah satu cabaran untuk melaksanakannya, walaupun bagi pedagang berpengalaman.

3. Selain daripada dua cara yang disebutkan tadi, ada cara ketiga: kaedah Martingale dan versinya yang lebih baru, dikenali sebagai “pemurataan posisi”. Kaedah ini telah diguna oleh jutaan pedagang dalam pelbagai situasi. Ia telah digabungkan ke dalam bermacam-macam strategi dagangan sama ada dagangan manual mahupun dagangan automatik yang menggunakan robot penganalisis. Bagi sesetengah orang, kaedah ini telah memberikan hasil cemerlang, manakala bagi yang lain pula, mereka berdepan dengan kegagalan teruk. Perkara ini telah lama dipertikaikan. Atas dasar itu, kami akan terangkan dengan lebih terperinci.     

Martingale: Bukan Nama Orang

Konsep Martingale dalam teori kebarangkalian telah dihasilkan antara tahun 1934-1939. Namun, sejarah mengenai kaedah ini lebih lama daripada itu. Martingale merujuk kepada kelas strategi taruhan yang berasal dari Perancis pada abad ke-18 dan meraih populariti di negara itu. Strategi mudah ini telah dicipta untuk sebuah permainan di mana para pemain akan menang taruhan jika syiling yang dicampak menunjukkan kepala dan rugi jika ia menunjukkan ekor. (Sama seperti warna merah dan hitam dalam permainan roulette). Strategi ini melibatkan para pemain untuk menggandakan nilai taruhan selepas setiap kekalahan. Jadi, jika pemain itu akhirnya menang, ia boleh mengimbangi kekalahan sebelum itu serta memberikan pulangan sama nilainya dengan taruhan awal.

Mengikut Hukum Bilangan Besar (Law of Large Numbers), kadar kebarangkalian untuk syiling menunjukkan kepala atau ekor (atau merah dan hitam) adalah hampir 50%. Justeru, dengan mengambil jumlah lambungan yang tak terhingga, strategi Martingale pada akhirnya akan memberi kemenangan kepada pemain. Namun perkara ini mengandaikan bahawa pemain itu memiliki kekayaan tak terhingga serta tiada had untuk saiz setiap taruhan. Walau bagaimanapun, tiada pemain yang memiliki modal seperti itu, dan peningkatan taruhan secara eksponen boleh menyebabkan pemain bankrap.

Perlu diketahui bahawa salah satu kemenangan berturut-turut terpanjang dalam roulette telah direkodkan pada tahun 1943 di sebuah kasino di Amerika, apabila bola berhenti pada warna merah sebanyak 32 kali berturut-turut. Kadar kebarangkalian untuk perkara sebegini berlaku adalah sangat kecil, namun ia tetap terjadi. Jika taruhan awal seorang pemain itu adalah $1, kemudian pada taruhan ke-32, selepas menggandakan nilainya secara berterusan, pemain akan menerima untung sebanyak $2.147 bilion! Modal untuk pulangan ini hanyalah sekecil $1.

Berdagang Menggunakan Pembelian Berperingkat atau Mempuratakan Posisi

Prinsip bagi kaedah Martingale dalam Forex adalah serupa: setiap kali dagangan mengalami kerugian, saiz dagangan berikutnya akan bertambah. Jika dagangan berikutnya juga rugi, saiz posisi dagangan akan digandakan, dan proses gandaan ini akan terus berlaku sehinggalah dagangan menguntungkan berjaya diperoleh. Jika mengikut teori, pulangan daripada dagangan berjaya itu seharusnya dapat memulangkan semula kerugian modal yang dialami sebelumnya. Dapat difahami bahawa kaedah ringkas seperti itu sering mendatangkan bencana dari segi kewangan, justeru ia seharusnya diperhalusi lagi. Salah satu kaedah yang diperhalusi adalah dagangan dengan mempuratakan posisi.

Contohnya: Katakanlah seorang pedagang itu membeli sesuatu aset pada kadar 1.2000 dengan harapan nilainya akan naik. Namun begitu, kadarnya mula susut dan mencapai kadar 1.1900. Jika pedagang itu yakin dengan analisis awal yang beliau lakukan dan percaya pasaran akan menyebelahi posisi beliau tidak lama lagi, mereka boleh membeli kelompok lain untuk aset yang sama pada kadar semasa 1.1900. Ini bermakna purata harga masuknya adalah 1.1950. Itu adalah kadar sasaran untuk pulang modal bagi posisi ini, dan bukan kadar permulaan iaitu 1.2000.

Walau bagaimanapun, pemikiran dunia dagangan sudah berkembang, dan lebih banyak versi yang lebih rumit boleh didapati semenjak itu, dan kebanyakan daripadanya menjadi asas kepada dagangan algoritma yang menggunakan robot penganalisis. Mengikut strategi-strategi ini, dagangan baru akan dibuka pada jarak yang pelbagai antara satu sama lain berdasarkan kepada hasil analisis teknikal, dan bergantung kepada isyarat daripada bermacam indikator trend serta pengayun, kedudukan Fibonacci, penembusan paras sokongan/rintangan, analisis gelombang, dan banyak lagi. Sementara itu, jumlah posisi (saiz lot) yang seterusnya bukanlah mengikut gandaan tetapi dikira menggunakan formula yang agak rumit. Algoritma seperti itu turut mengambil kira nilai pulangan yang diinginkan, tahap risiko yang mampu ditanggung, serta bermacam parameter yang lain.

Terdapat bermacam pilihan yang boleh digunakan. Namun prinsip utamanya masih lagi sama: jika seorang pedagang membuka posisi dan dagangannya rugi, strategi tersebut akan membuka satu lagi posisi pada arah yang sama seperti posisi pertama yang merugikan tadi namun dengan jumlah yang lebih besar (dan proses ini akan terus berulang). Proses ini dibuat supaya mereka boleh mendapatkan semula modal atau memperoleh pulangan apabila kadarnya naik semula. Ini adalah satu-satunya kelebihan yang penting untuk strategi-strategi ini. Seterusnya, adalah penting untuk menyenaraikan risiko-risiko utamanya:

1. Jika pasaran terus bergerak dalam arah bertentangan daripada posisi pedagang, jumlah kerugian akan menjadi lebih besar disebabkan pertambahan jumlah posisi yang dibuka.

2. Jumlah deposit boleh susut dengan ketara walaupun apabila berlakunya beberapa siri dagangan merugikan yang singkat. Kadar margin yang boleh diguna semakin berkurang, meningkatkan risiko penutupan posisi secara paksa oleh pihak broker apabila kadar stop-out telah dicapai.

3. Pertambahan tahap ketegangan emosi dan psikologi yang dialami pedagang akibat rugi lebih mudah dirasai.

4. Seseorang juga harus mempertimbangkan fenomena seperti “black swan”: pergerakan pasaran yang mendadak dan tidak dijangka yang boleh mengganggu mana-mana strategi dagangan walaupun ia sudah difikirkan secara teliti.

Disebabkan inilah pedagang berpengalaman mengesyorkan untuk mengehadkan jumlah posisi baru yang di buka kerana keadaan pasaran mungkin tidak akan berubah. Ia juga penting untuk mengira tahap risiko terlebih dahulu dan bersedia secara mental, bermuhasabah untuk menutup posisi merugikan tepat pada masanya. Setiap langkah yang diambil seharusnya adalah hasil daripada keputusan yang mendalam. Ingat: dalam dagangan pasaran kewangan, tindakan logik mampu membawa kejayaan, manakala tindakan impulsif pula boleh mengakibatkan kerugian.

Kembali Kembali
Laman web ini menggunakan kuki. Ketahui lebih lanjut tentang Dasar Kuki kami.