Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 29 April - 03 Mei, 2024

EUR/USD: Inflasi Kekal, Pertumbuhan KDNK di AS Menguncup

● Ekonomi AS terus menjadi ekonomi paling kukuh di muka bumi ini. Selain itu, peratusan bagi KDNK negara tersebut di peringkat global telah mencapai kadar paling tinggi dalam tempoh hampir dua dekad iaitu 26.3%. Menurut IMF, sejak tahun 2018, peratusan KDNK bagi Kesatuan Eropah susut sebanyak 1.4%, Jepun susut sebanyak 2.1%, manakala Amerika Syarikat berkembang sebanyak 2.3%. Kadar KDNK China adalah 64% daripada kadar di Amerika, turun daripada 67% pada lima tahun lalu. Disebabkan itu, memang tidak dinafikan lagi bahawa dolar adalah peneraju dalam kalangan mata wang negara-negara G10 dengan tanpa perlu bersaing untuk menduduki takhta dalam masa terdekat ini. Dengan kekuatan ekonomi yang dimiliki, disamping pasaran buruh yang teguh telah membolehkan Rizab Persekutuan terus memberi tumpuan dalam membendung inflasi, mensasarkan untuk mengurangkannya kepada 2.0%. Menurut Jerome Powell, ketua Bank Persekutuan AS, melonggarkan polisi kewangan pada keadaan sekarang ini mampu memberi lebih banyak kesan negatif terhadap ekonomi berbanding jika terus mengekalkan polisi yang ketat untuk jangka masa panjang. Berdasarkan perkara ini, mengikut FedWatch Tool, kebarangkalian untuk Rizab Persekutuan memotong kadar faedah dolar pada mesyuarat bulan Jun nanti susut kepada 15%. Peserta pasaran percaya bahawa senario paling baik adalah keputusan untuk mengubah polisi sedia ada mungkin akan diambil pada bulan September nanti. Sebilangan pakar-pakar ekonomi, termasuklah penganalisis di Morgan Stanley dan Societe Generale malah menjangkakan bahawa pihak Rizab Persekutuan mungkin akan menunda penurunan kadar untuk kali pertama sehingga awal tahun 2025. Unjuran seperti itu telah mengakibatkan nilai mata wang AS mencecah kadar tertinggi dalam tempoh lima bulan pada pertengahan April berbanding mata wang euro, pound British, dolar Australia dan New Zealand, dengan gandingan USD/JPY sekali lagi mencatatkan paras tertinggi selama 34 tahun dan kadar indeks DXY pula naik ke paras 106.42.

● Namun, semua itu berlaku pada pertengahan bulan April. Untuk sepuluh hari terakhir bulan itu, indeks DXY berdepan tekanan bearish, menolak gandingan EUR/USD ke atas. Jerome Powell menyatakan bahawa keputusan penurunan kadar tidak dibuat terlebih dahulu namun bergantung sepenuhnya kepada statistik makroekonomi. Statistik yang dikeluarkan pada beberapa hari lalu dilihat agak samar-samar, menyebabkan timbulnya keraguan sama ada ekonomi AS mampu untuk mengekalkan dinamik sebelum ini. Statistik yang dikeluarkan pada hari Selasa, 23 April berkenaan aktiviti perniagaan serta kadar teras pesanan barangan tahan lama di AS mengecewakan para pelabur. Data awal dari S&P Global menunjukkan bahawa kadar Indeks Aktiviti Perniagaan (PMI) dalam sektor perkhidmatan di AS turun tanpa disangka-sangka daripada 51.7 mata kepada 50.9 mata. Indikator yang sama bagi sektor pembuatan adalah lebih teruk, data menunjukkan kadar PMI telah melepasi paras ambang yang membezakan pertumbuhan daripada penyusutan. Untuk bulan April, indikator ini susut daripada 51.9 kepada 49.9) diunjur 52.0). Data ini sendiri tidak banyak memberi kepentingan seperti pasaran buruh mahupun laporan inflasi, namun dua hari selepas itu, pada 25 April, keadaan diburukkan lagi dengan data KDNK di AS yang sama mengecewakan. Anggaran awal menunjukkan pertumbuhan ekonomi di AS untuk Q1 hanyalah 1.6%, lebih rendah berbanding 2.5% yang diunjur dan nilai sebelum ini iaitu 3.4%. Jika dibandingkan dengan suku tahun yang sama untuk tahun 2023, pertumbuhan KDNK turun daripada 3.1% kepada 3.0%. Melihat kepada keadaan ini, kadar DXY bersama-sama dengan EUR/USD mengalami pembetulan, dan kedudukan gandingan ini naik ke paras 1.0752.  

● Perlu diingatkan bahawa data inflasi di AS yang dikeluarkan pada 10 April menunjukkan kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) mencecah paras 3.5% untuk tahun ke tahun, kadar tertinggi dalam tempoh enam bulan. Pada hari Jumaat, 26 April, Biro Analisis Ekonomi melaporkan bahawa kadar inflasi yang diukur mengikut perubahan kadar Indeks Perbelanjaan Penggunaan Sendiri (PCE) untuk bulan Mac naik kepada 2.7% (tahun ke tahun). Kadar teras PCE yang mengecualikan harga bahan api dan makanan yang meruap kekal pada kedudukan sebelum ini iaitu 2.6% dan tidak susut ke paras 2.6% seperti yang diunjurkan. Maka, pada satu sudut, kita dapat lihat kadar inflasi dapat bertahan dan enggan turun ke bawah, dan pada sudut yang lain pula, kami dapati telah berlakunya kelembapan pertumbuhan KDNK. Mengikut ramalan kami, berdepan keadaan seperti itu, pihak Rizab Persekutuan tidak akan mengubah pendirian mereka sebelum ini dan akan memilih untuk terus membendung peningkatan kadar harga. Lebih-lebih lagi, penurunan kadar KDNK untuk Q1 tidak seharusnya memberi kebimbangan kepada penggubal dasar tersebut kerana ekonomi AS telah berkembang sebanyak 2% dan kadar yang lebih tinggi untuk tujuh suku tahun sebelum ini, walaupun dengan pengetatan polisi Rizab Persekutuan yang agresif. Disamping itu, data pasaran buruh baru-baru ini dilihat agak positif. Jumlah awal bagi tuntutan manfaat pengangguran susut daripada 212K kepada 207K (diunjur 214K) - paling rendah sejak bulan Februari.

● Pada hari Selasa, 23 April, sama seperti di AS, data awal untuk aktiviti perniagaan akan dikeluarkan di seberang Lautan Atlantik. Di Jerman, kadar PMI Pembuatan naik daripada 41.9 kepada 42.2, manakala dalam sektor perkhidmatan - naik daripada 50.1 kepada 53.3, Indeks Komposit - naik daripada 47.7 kepada 50.5. Untuk Eurozone secara keseluruhannya, dinamik yang positif turut dapat dilihat. Jadi, kadar Indeks Aktiviti Perniagaan dalam sektor perkhidmatan naik daripada 51.5 kepada 52.9 mata, Indeks Komposit naik daripada 50.3 kepada 51.4. Pengecualian berlaku kepada kadar PMI Pembuatan (susut daripada 46.1 kepada 45.6). Bagi unjuran tempoh untuk Bank Negara Kesatuan Eropah mula melonggarkan polisi kewangan mereka, ia masih lagi dijangka pada bulan Jun. Perkara ini sekali lagi disahkan oleh presiden Bundesbank Jerman dan ahli Jawatankuasa Pentadbir ECB iaitu Joachim Nagel yang membuat kenyataan pada 24 April bahawa penurunan kadar pada bulan Jun tidak bermaksud akan terdapat beberapa siri pemotongan selepas itu. Dalam kata lain, untuk bulan Jun - ya, terdapat penurunan kadar, apa yang berlaku selepas itu – masih belum diketahui lagi.

● Semua yang di atas menunjukkan bahawa indikator fundamental masih lagi memihak kepada dolar. Pembetulan yang berlaku kepada EUR/USD mungkin sekejap dan tidak begitu kuat atau berpanjangan. Minggu lalu, gandingan ini ditutup pada paras 1.0692. Menurut pakar ekonomi di United Overseas Bank Singapura, pembetulan itu mungkin tidak memiliki kekuatan yang cukup untuk menembusi paras rintangan 1.0765. Untuk ramalan minggu hadapan, sehingga malam 26 April, 50% penganalisis menjangkakan nilai dolar menjadi lebih kukuh, 35% - nilainya menjadi lemah, baki 15% pula terus bersikap neutral. Dalam kalangan indikator trend pada D1, 65% memihak kepada bear, 35% - berwarna hijau. Dalam kalangan pengayun, satu pertiga memihak kepada bear, satu pertiga - berwarna hijau, dan satu pertiga lagi - berwarna kelabu neutral. Paras sokongan paling hampir bagi gandingan ini berada di zon 1.0680, kemudian 1.0600-1.0620, 1.0560, 1.0495-1.0515, 1.0450, 1.0375, 1.0255, 1.0130, 1.0000. Zon rintangan berada di sekitar 1.0710-1.0725, 1.0740-1.0750, 1.0795-1.0805, 1.0865, 1.0895-1.0925, 1.0965-1.0980, 1.1015, 1.1050, 1.1100-1.1140.

 ● Minggu depan menjanjikan keadaan tegang dan bergelora kerana terdapat pelbagai perkara penting akan berlaku. Pada hari Isnin, 29 April, data awal bagi kadar inflasi pengguna (CPI) di Jerman akan diketahui. Keesokan harinya, satu lagi kumpulan statistik akan dikeluarkan di Jerman, termasuklah kadar KDNK serta kadar jualan runcit. Pada hari yang sama, kita akan ketahui kadar awal KDNK serta kadar inflasi di Eurozone secara keseluruhannya. Pada hari Rabu, 1 Mei, Jerman dan kebanyakan negara-negara EU yang lain akan menyambut cuti umum - Hari Buruh. Walau bagaimanapun, di Amerika Syarikat masih lagi bekerja seperti biasa pada hari tersebut. Pertama, laporan ADP berkenaan jumlah tenaga kerja dalam sektor swasta di negara itu serta indikator aktiviti perniagaan dalam sektor pembuatan akan dikeluarkan. Perkara paling penting sudah pastinya adalah mesyuarat FOMC (Federal Open Market Committee) Rizab Persekutuan pada hari Rabu, 1 Mei dan juga sidang akhbar pihak pengurusan penggubal dasar tersebut selepas itu. Selain itu, pada hari Jumaat, 3 Mei, seperti biasa kami akan menantikan satu lagi statistik penting dari pasaran buruh Amerika, termasuklah kadar pengangguran serta jumlah pekerjaan baru bukan dalam sektor perladangan (NFP), dan juga data aktiviti perniagaan (PMI) dalam sektor perkhidmatan di AS yang telah disemak semula.

 

GBP/USD: Kadar PCE di AS Menghalang Pengukuhan Nilai Pound

● Statistik awal kadar aktiviti perniagaan di United Kingdom yang dikeluarkan pada hari Selasa, 23 April agak bercampur-campur. Kadar PMI dalam sektor pembuatan di negara tersebut telah turun dan berada lebih rendah berbanding sempadan pertumbuhan/penguncupan, jatuh ke paras 48.7 mata sebenarnya dan tidak mencapai paras yang diunjur dan nilai sebelum ini iaitu 50.3 mata. Namun sebaliknya, dalam sektor perkhidmatan di UK, bulan April menunjukkan pertumbuhan - indikator tersebut naik daripada 53.1 kepada 54.9 (pasaran mengunjur 53.0). Akibatnya, kadar PMI Komposit mencecah paras 54.0 (52.8 pada bulan lalu). Walau bagaimanapun, kesemua kadar-kadar ini tidak begitu memberi kesan kepada para pelabur.

● Pada 22 April, kadar GBP/USD turun ke paras 1.2300. Bull gandingan ini mengambil peluang daripada keadaan lebihan belian dolar untuk kembali berada di sempadan bawah koridor jangka sederhana antara 1.2500-1.2800 yang dilalui gandingan ini sejak hujung November tahun lalu. Namun, ia tidak memiliki kekuatan yang cukup untuk mengalami penyatuan dalam koridor itu. Paras tertinggi maksimum untuk dua minggu telah direkodkan pada kadar 1.2540, dan kemudian, setelah menerima tekanan daripada kadar PCE di AS, gandingan ini turun ke bawah lagi dan mengakhiri dagangan lima hari pada paras 1.2492.

● Menurut penganalisis di United Overseas Bank, selagi paras sokongan 1.2420 belum lagi ditembusi, masih ada peluang untuk pound naik dan melepasi paras 1.2530. Mereka berkata paras rintangan berikutnya adalah 1.2580. Unjuran median para penganalisis berkenaan pergerakan kadar GBP/USD untuk minggu depan dilihat benar-benar tidak menentu: 20% bersetuju dengan penurunan gandingan ini ke bawah, peratusan yang sama - menjangkakan pertumbuhan ke atas, dan majoriti (60%) enggan memberi sebarang unjuran. Bagi analisis teknikal, 65% daripada indikator trend pada D1 menunjukkan penurunan manakala 35% lagi menjangkakan pertumbuhan. Dalam kalangan pengayun, gambarannya adalah bercampur-campur: 25% mengesyorkan untuk jual, 25% - beli, dan 50% lagi berada di zon neutral. Jika kedudukan gandingan ini turun lebih rendah, ia akan menerima sokongan pada paras dan zon 1.2450, 1.2400-1.2420, 1.2300-1.2330, 1.2185-1.2210, 1.2110, 1.2035-1.2070, 1.1960, dan 1.1840. Jika mengalami pertumbuhan, gandingan ini akan berdepan rintangan pada paras 1.2530-1.2540, 1.2575-1.2610, 1.2695-1.2710, 1.2755-1.2775, 1.2800-1.2820, 1.2885-1.2900.

● Tiada sebarang statistik penting mengenai keadaan ekonomi UK yang dijangka akan diketahui pada minggu hadapan.

 

USD/JPY: Sudah Tiba Di Bulan, Sasaran Seterusnya - Marikh?

● Kami berikan judul “Tinggi dan Lebih Tinggi” dalam ulasan sebelum ini. Sekarang, adalah perlu untuk bertanyakan berapa tinggi lagi kenaikan ini perlu berlaku? Bilakah Bank of Japan (BoJ) akan memutuskan untuk mengambil langkah radikal dalam mengubah polisi kewangan mereka akhirnya?

Pada mesyuarat 26 April lalu, ahli-ahli Bank Negara Jepun sebulat suara mengambil keputusan untuk mengekalkan kadar faedah utama mereka mengikut kadar sebelum ini iaitu 0.0-0.1%. Selain itu, penggubal dasar tersebut memadam satu rujukan dalam kenyataan mereka yang menyebut tentang pembelian bon JGB berjumlah kira-kira 6 trilion yen setiap bulan sekarang ini. Kenyataan selepas mesyuarat itu menyatakan bahawa “prospek perkembangan ekonomi dan harga di Jepun adalah sangat-sangat tidak menentu,” “jika kadar inflasi naik, Bank of Japan mungkin akan mengubah tahap pelonggaran polisi kewangan,” walau bagaimanapun, “pelonggaran polisi kewangan dijangka akan dikekalkan untuk beberap ketika."

● Seperti dijangka, reaksi pasaran terhadap keputusan Bank Negara Jepun itu adalah dengan satu lagi carta gandingan USD/JPY berbentuk candle. Kadar maksimumnya direkodkan pada paras 158.35, sama seperti kedudukan paling tinggi pada tahun 1990. Tiada sebarang campur tangan mata wang yang dibuat untuk menyelamatkan mata wang negara sendiri, sesuatu yang ditakuti peserta pasaran. Jika diingat pakar strategi dari Rabobank Belanda menggelar paras 155.00 sebagai paras kritikal untuk permulaan kepada campur tangan daripada Menteri Kewangan Jepun. Kedudukan sama turut diunjur oleh 16 daripada 21 orang pakar ekonomi yang menjalani kaji selidik Reuters. Yang lain meramalkan langkah itu akan dilaksanakan pada paras 156.00 (2 responden), 157.00 (1), dan 158.00 (2). Gandingan USD/JPY telah lama berada lebih tinggi daripada paras-paras itu setelah campur tangan dibuat pada Oktober 2022 dan apabila pasaran mengubah arah pergerakannya kira-kira setahun selepas itu. Paras 158.00 kini dilihat bukan hadnya. Mungkin berbaloi untuk menaikkan paras yang diunjur kepada 160.00? Atau serta-merta naik kepada $200,00?

USD/JPY mengakhiri minggu lalu pada paras 158.32. Unjuran penganalisis mengenai masa depan gandingan ini adalah seperti berikut: kebimbangan berlakunya campur tangan mata wang masih lagi wujud dan diunjur 60% daripada mereka, manakala 40% lagi menunggu lonjakan berterusan ke Marikh. Perkakas analisis teknikal jelas tidak berasa bimbang dengan campur tangan. Justeru, 100% indikator trend dan pengayun pada D1 menunjukkan pertumbuhan, walaupun satu pertiga daripada pengayun berada di zon lebihan belian. Sokongan paling hampir berada di sekitar paras 156.25, kemudian 3.90-154.30, 153.10, 151.00, 149.70-150.00, 148.40, 147.30-147.60, 146.50. Dan secara praktikalnya agak mustahil untuk menentukan paras rintangan. Kami hanya maklum dengan paras tertinggi pada April 1990 iaitu 160.30, walaupun sasaran ini agak bersyarat.

● Tiada perkara penting lain berkenaan keadaan ekonomi Jepun yang dijangka akan diketahui pada minggu depan. Selain itu, pedagang perlu mengingati bahawa hari Isnin dan Jumaat adalah hari cuti umum di Jepun: 29 April, negara itu menyambut hari kelahiran Hirohito (Maharaja Showa), dan 3 Mei pula - Hari Perlembagaan.

 

MATA WANG KRIPTO: Sejauh Manakah Bitcoin Akan Turun?

● Seperti dijangka, pengurangan penghasilan keempat telah berlaku pada blok #840000 dalam rangkaian bitcoin pada 20 April. Ganjaran penghasilan blok telah dikurangkan daripada 6.25 BTC kepada 3.125 BTC. Jika diingat, proses pengurangan penghasilan adalah pengurangan saiz ganjaran buat penghasil yang menambah blok baru ke dalam blockchain bitcoin. Proses ini telah dikodkan ke dalam mata wang kripto pertama dan berlaku untuk setiap 210,000 blok - sehinggalah penghasilan 21 juta coin (dijangka pada tahun 2040) menamatkan pengeluaran mata wang kripto. Perlu diketahui bahawa pengurangan penghasilan kali keempat akan menyediakan penghasilan kira-kira 95% daripada keseluruhan bitcoin yang diedarkan, kira-kira 99% daripada kesemua coin akan dihasilkan antara tahun 2033-2036. Kemudian, pelepasannya akan beransur-ansur menjadi sifar.

● Dalam ulasan kami sebelum ini, kami telah janjikan untuk berkongsi reaksi pasaran berkenaan perkara itu. Kami berjanji - kami laporkan: reaksi pasaran hampir tiada. Untuk beberapa hari selepas pengurangan penghasilan dilaksanakan, kadar kemeruapan dilihat tidak bertambah. Nilai bitcoin pada awalnya naik dengan bersahaja dan perlahan-lahan, mencecah $67,269 pada 12 April, dan kemudian kembali berada di kedudukan pada awal minggu: di zon $64,000. Peserta pasaran dilihat menjadi kaku dalam menantikan siapakah yang terlebih dahulu akan mula membuat pembelian atau menjual mata wang kripto secara besar-besaran.

Menurut penganalisis di Bitfinex, bekalan yang terhad selepas pelaksanaan pengurangan penghasilan telah menstabilkan nilai mata wang kripto pertama itu dan mungkin menyumbang kepada pertumbuhan nilainya. “Pengeluaran bitcoin yang perlahan berjumlah antara $30-40 juta setiap hari setelah penghasilannya dikurangkan adalah sangat bertentangan dengan aliran masuk bersih harian ke dalam ETF spot sebanyak $150 juta. Perkara ini menunjukkan ketidakseimbangan ketara antara jumlah bekalan dan permintaan, satu faktor yang mungkin menjadi penyumbang kepada pertumbuhan nilai lebih tinggi,” sebut laporan Bitfinex.

Walau bagaimanapun, penganalisis di QCP Capital percaya bahawa golongan optimis bitcoin perlu menunggu sekurang-kurangnya dua bulan sebelum menilai semula kesan daripada empat pelaksanaan pengurangan penghasilan sebelum ini. “Nilai spot hanya naik secara eksponen selepas 50-100 hari berlalu dalam tiga kitaran pengurangan penghasilan sebelum ini. Jika corak yang sama berlaku pada kali ini, bull bitcoin masih ada beberapa minggu untuk menghasilkan posisi yang lebih panjang,” laporan itu menyebut.

● Anthony Pompliano, pengasas syarikat modal teroka Pomp Investment percaya bahawa dalam masa  12-18 bulan, nilai coin ini dijangka naik kepada $100,000 dan berpeluang untuk mencecah nilai $150,000-200,000. Namun, sebelum mengalami lonjakan bull, beliau berpendapat bahawa gandingan BTC/USD sedang menantikan pembetulan ke bawah. Dalam masa yang sama, Pompliano percaya bahawa nilainya tidak akan kurang daripada $50,000. “Saya rasa nilai ini telah pun melepasi Rubicon,” - jelas beliau.

● Perbincangan mengenai nilai mata wang kripto utama ini yang barangkali akan susut nanti mungkin telah menjadi topik hangat baru-baru ini jika dibandingkan dengan perbincangan megnenai pertumbuhan nilainya. Ramai yang bersetuju bahawa nilai coin bitcoin akan naik dalam jangka masa panjang. Namun apakah reaksi sebut harganya untuk masa terdekat ini? Fidelity Digital Asset, pengeluar salah satu ETF spot BTC terkemuka sudahpun menyemak semula unjuran jangka sederhana mereka untuk bitcoin daripada positif kepada neutral. Punca kepada perubahan sentimen optimis mereka adalah terdapat beberapa trend membimbangkan yang berlaku di pasaran kripto. Penganalisis Fidelity maklum dengan peningkatan tahap keinginan golongan hodler jangka panjang untuk membuat jualan. Seperti yang dinyatakan dalam laporan mereka, buat masa ini terdapat jumlah peratusan alamat menguntungkan yang besar dalam kalangan golongan tersebut. Ini bermakna golongan hodler mungkin mahu mendapatkan pulangan dan mula menjual BTC. Pada sudut yang lain, data dalam rantaian menunjukkan bahawa pelabur kecil pula sebaliknya terus mengumpul mata wang kripto pertama itu. Sejak awal tahun ini, jumlah alamat dengan nilai BTC simpanan kurang daripada $1,000 telah naik sebanyak 20% dan mencecah jumlah tertinggi baru dalam sejarah. “Trend seperti itu mungkin menunjukkan pertambahan tahap penyebaran dan penerimaan bitcoin dalam kalangan pengguna ‘biasa’,” - maklum Fidelity.

● Penganalisis di CryptoQuant meneliti bacaan indikator SOPR daripada kategori-kategori pelabur ini dan kesimpulan yang dibuat hampir sama dengan rakan sejawat mereka di Fidelity. Pelaburan dalam Bitcoin oleh golongan “jerung” (pemilik dengan “usia” coin kurang daripada 155 hari) baru adalah hampir satu kali ganda lebih tinggi berbanding indikator pelabur besar “lama” (usia coin lebih daripada 155 hari). Dalam masa yang sama, peningkatan nilai metrik menunjukkan bahawa pulangan yang diterima golongan hodler “tua” sangat-sangat tinggi jika dibandingkan dengan indikator “orang baru”. Jika golongan “tua” mengambil keputusan untuk mendapatkan pulangan, hal ini akan menyebabkan pembentukan nilai tertingginya. Menurut CEO CryptoQuant iaitu Ki Young Ju, analisis yang dibuat terhadap keadaan semasa juga menunjukkan perlunya untuk mengambil langkah berjaga-jaga dalam menantikan pembetulan serta peningkatan kadar kemeruapan yang mungkin boleh berlaku.

Jika diingat sebelum ini, para penganalisis di JPMorgan sedar bawah emas digital ini berada dalam keadaan terlebih beli. Pengasas bersama CMCC iaitu Crest Willy maklum bahawa jika nilai mata wang kripto pertama ini turun di bawah paras sokongan jangka pendek iaitu $58,900, pasaran berisiko untuk beralih kepada fasa bearish.

● Sehingga malam Jumaat, 26 April, gandingan BTC/USD didagangkan di sekitar $63,950. Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto adalah $2.36 trilion ($2.32 trilion minggu lalu). Bacaan Indeks Fear & Greed Kripto kekal berada di zon Greed, walaupun naik daripada 66 mata kepada 70 mata.

● Akhir sekali, ruangan petua hidup kripto yang telah lama kami tinggalkan menutup ulasan ini. Tiada siapa menyangka untuk menjadi jutawan kripto, cukup dengan hanya memiliki sebatang pen penanda dan sehelai kertas. Kemungkinan untuk menjadi kaya dengan cara itu telah dibuktikan sendiri oleh Christian Langlois, juga dikenali sebagai Bitcoin Sign Guy. Lelaki ini menjadi tajuk berita dalam pelbagai saluran berita setelah menunjukkan sehelai lembaran buku nota dengan inskripsi “Beli Bitcoin” di belakang Pengerusi Rizab Persekutuan iaitu Janet Yellen. Pada ketika itu, ketua Rizab Persekutuan tersebut sedang memberikan testimoni berkenaan situasi ekonomi di AS. Imej itu tersebar dengan cepat di semua rangkaian dan telah menjadi symbol kemunculan industri kripto.

Disebabkan salah laku tersebut, pelatih berusia 22 tahun itu telah dihalau dengan keji daripada sesi bersama senat. Namun selepas episod berkenaan disiarkan di televisyen, para penggemar telah mengirimkan 7 BTC ke dalam walet kripto beliau atas  tindakan beraninya. Empat tahun lalu, Christian telah menjual lembaran yang menjadi “ikutan” itu sebanyak 21 salinan dengan harga purata 0.8 BTC, memperoleh pulangan sebanyak 16.8 BTC lagi. Maka, jumlah pulangan yang beliau peroleh adalah mencecah 23.8 BTC, lebih daripada $1.5 juta jika mengikut kadar tukaran semasa.

Beberapa minggu lalu, Langlois telah ditawarkan 5 bitcoin lagi untuk salinan yang asli, namun beliau enggan menjual lembaran itu. Namun begitu, Christian suka dengan idea untuk menjana wang daripada objek “artistik dan warisan sejarah”, maka beliau mengambil keputusan untuk menjualnya dalam satu lelongan, menyalurkan hasil jualan itu untuk membiayai syarikat startup beliau iaitu Tirrel Corp. Pada 25 April, 2024, rumah lelongan Scarce.City melaporkan bahawa lot yang menjadi meme popular itu telah dijual dengan nilai 16 BTC (lebih daripada $1 juta).

 

Bahagian Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini bukanlah cadangan atau panduan pelaburan bagi menyertai pasaran kewangan dan hanya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kerugian wang deposit.

Kembali Kembali
Laman web ini menggunakan kuki. Ketahui lebih lanjut tentang Dasar Kuki kami.