EUR/USD: Adakah Persaingan Kadar Faedah Sudah Menghampiri Penghujungnya?
- Kadar EUR/USD mengalami pertumbuhan sehingga hari Khamis, 27 Oktober, malah kenaikan itu meletakkan kedudukannya di atas paras penting 1.0000, mencecah 1.0092. Punca kepada pertumbuhan ini berkemungkinan disebabkan oleh sebilangan pelabur yang mengharapkan pihak ECB tidak hanya menaikkan kadarnya sebanyak 0.75, tetapi 1.0 mata asas (bp) atau lebih apabila mereka bermesyuarat nanti. Namun, impian itu hanya tinggal impian. Apa yang berlaku benar-benar seperti yang peserta pasaran jangkakan: penggubal dasar Kesatuan Eropah itu menaikkan kadarnya sebanyak 0.75 bp, daripada 1.25% kepada 2.0%. (Walaupun kadar itu adalah yang tertinggi sejak 10 tahun lalu).
Kenyataan terakhir oleh pihak Bank Persekutuan mengatakan bahawa pihak Jawatankuasa Pentadbir ECB sudah pun mengambil langkah-langkah penting dalam mengakhiri rangsangan polisi kewangan (QE) mereka. Tiada juga ayat dalam teks itu yang mengatakan jika kadar faedah akan dinaikkan secara berkala pada mesyuarat yang seterusnya. Ketua ECB iaitu Christine Lagarde juga maklum pada sidang akhbar yang diadakan itu bahawa aktiviti ekonomi di Eurozone mungkin akan mengalami kelembapan yang mendadak pada Q3 2022. Berdasarkan hal ini, peserta pasaran membuat kesimpulan bahawa pihak ECB mengharapkan kepada keadaan gawat yang berlaku di Eropah bagi membantunya menghadapi kadar inflasi tanpa menaikkan kadar faedah dengan mendadak. Jika penggubal dasar itu bertindak secara agresif seperti yang dilakukan oleh pihak Rizab Persekutuan AS, langkah seperti itu dan juga kenaikan harga sumber tenaga mampu meruntuhkan ekonomi di Eropah ke jurang yang paling dalam dengan mudah.
Kebanyakan penganalisis percaya bahawa pihak ECB hanya akan menaikkan kadarnya sebanyak 50 mata dan bukannya 75 mata pada mesyuarat berikutnya yang akan diadakan pada 15 Disember. Tiada mesyuarat yang akan diadakan pada bulan Januari nanti di dalam kalendar, dan kadar itu akan dinaikkan dengan “begitu kecil” sebanyak 25 mata pada bulan Februari, mencecah 2.75%, dan di situlah kadarnya akan berakhir.
Melihat kepada situasi yang berlaku, pasangan EUR/USD turun di bawah paras 1.0000 sekali lagi. Kadar pertumbuhan KDNK di AS telah membantu mengukuhkan nilai dolar. Dengan unjuran sebanyak +2.4%, indikator ini naik sebanyak +2.6% untuk tahun ke tahun bagi Q3 2022, menghentikan beberapa siri penurunan: -1.6% pada Q1 dan -0.6% pada Q2.
Pada satu sudut, kadar pertumbuhan ekonominya menunjukkan ia mampu berhadapan dengan pengetatan polisi kewangan Rizab Persekutuan yang lebih hebat. Pada sudut yang lain pula, komponen penting seperti pasaran hartanah rupa-rupanya sedang menyusut dengan pantas. Kadar pelaburan telah jatuh lebih daripada 26%, manakala kadar gadai janji 30 tahun telah mencecah 7% setahun, hal ini mengakibatkan permintaan untuk hartanah turun mendadak.
Sudah pastinya, perkara ini tidak mungkin akan menghalang pihak Rizab Persekutuan daripada membendung kadar inflasi. Namun ia mungkin akan memaksanya untuk bertindak dengan lebih berhati-hati. Untuk mesyuarat penggubal dasar itu yang seterusnya pada 2 November nanti, pasaran masih lagi yakin bahawa kadar faedah akan dinaikkan sebanyak 0.75 mata, daripada 3.25% kepada 4.0%. Walau bagaimanapun, mengenai langkah Rizab Persekutuan yang seterusnya pada bulan Disember nanti, pasaran niaga hadapan dana persekutuan itu masih lagi cenderung dengan kenaikan sederhana sebanyak 50 mata. Namun, walaupun jika ramalan ini menjadi kenyataan sekalipun, perbezaan kadar faedah antara euro dan dolar masih lagi sama, dan ianya memberi sokongan kepada mata wang AS.
Pasangan EUR/USD ditutup pada paras 0.9964 pada minggu lalu. 50% penganalisis menyokong hakikat bahawa ia akan terus bergerak ke bawah dalam masa terdekat ini, 20% lagi menjangkakan pembetulan ke atas, manakala baki 30% pula memilih trend mendatar. Harus sedia maklum di sini bahawa apabila beralih ke ramalan hujung tahun, 80% penganalisis bersetuju dengan senario bearish. Dalam kalangan indikator trend pada D1, hanya 40% berwarna merah, 60% pula berwarna hijau. Dalam kalangan pengayun, kesemua 100% menggalakkan untuk membeli pasangan ini.
Sokongan terdekat bagi EUR/USD berada pada paras 0.9900, diikuti dengan 0.9765, 0.9700, 0.9645, 0.9580 dan akhir sekali paras terendah 28 September lalu iaitu 0.9535. Sasaran bear yang seterusnya adalah 0.9500. Bagi bull pula, tugas utamanya adalah untuk menembusi paras halangannya iaitu 1.0000. Kemudian ia akan berhadapan dengan rintangan pada paras 1.0100, 1.0250, 1.030 dan 1.0370.
Peristiwa paling penting untuk minggu hadapan sudah pastinya adalah mesyuarat FOMC (Federal Open Market Committee) Rizab Persekutuan AS yang akan diadakan pada hari Rabu, 2 November, dan juga sidang akhbar oleh pihak pengurusan penggubal dasar tersebut selepas itu. Disamping itu, hari Isnin, 31 Oktober juga penting dalam kalendar ekonomi kerana data KDNK dan juga pasaran pengguna (CPI) di Eurozone, serta data jumlah jualan runcit di Jerman akan dikeluarkan. Nilai kadar Indeks Aktiviti Perniagaan ISM (PMI) dalam sektor pembuatan di AS akan diketahui pada keesokan harinya, pada hari Selasa, 1 November, manakala dalam sektor perkhidmatan pula pada hari Khamis, 3 November. Selain itu, menjadi kebiasaan untuk kami menunggu sebahagian daripada statistik pasaran buruh di AS pada 2 dan 4 November, termasuklah kadar pengangguran dan juga jumlah pekerjaan baru bukan dalam sektor agrikultur (NFP) yang ada di negara berkenaan.
GBP/USD: Pertaruhan yang Amat Besar
- Umumnya, dinamik GBP/USD mengikuti dinamik EUR/USD pada minggu lalu. Kedudukan paling rendah sepanjang lima hari telah direkodkan pada paras 1.1257, paras tertinggi adalah 1.1645, dan ia ditutup pada paras 1.1615. Untuk minggu hadapan, atau lebih tepat lagi pada tiga hari terakhir, keadaan dijangka akan menjadi lebih kucar-kacir kerana selain daripada mesyuarat FOMC Rizab Persekutuan AS, mesyuarat Bank of England juga akan diadakan pada hari Khamis, 3 November.
Terdapat siri televisyen lama di Poland berjudul Stake Larger Than Life yang berkisarkan tentang pengembaraan. Dalam hal ini, keputusan Bank Negara British terhadap kadar faedah mereka akan menentukan bagaimana pound akan terus bertahan. Pada hakikatnya, sudah pasti ia akan berdepan dengan pelbagai jenis “pengembaraan” kelak.
Semasa berada pada kemuncak kegagalan polisi fiskal, pasaran menjangkakan dengan ringkas bahawa kadar pound boleh mencecah 3.90% selepas mesyuarat bulan November. Namun, selera para pelabur mula berkurang dengan ketara, dan mereka mahu melihat kenaikan daripada 2.25% yang ada sekarang kepada sekurang-kurangnya 3.0%, kenaikan sebanyak 75 bp. Walau bagaimanapun, pakar strategi di ING, kumpulan perbankan terbesar di Belanda percaya bahawa kebarangkalian untuk kadarnya dinaikkan sebanyak 50 bp adalah lebih tinggi sekarang, dan ini menjadi faktor negatif buat pound. Justeru, pertumbuhan ke paras lebih tinggi akan menjadi lebih sukar. “Pembetulan untuk pasangan GBP/USD ke sekitar 1.1750 mungkin terus berlaku, tetapi kami tidak rasakan kenaikan ini akan berpanjangan,” jelas ING.
Pendapat berbeza dikongsikan oleh rakan sejawat mereka di Scotiabank. Pada pendapat mereka, walaupun pound gagal untuk menembusi paras 1.1650 pada 27 Oktober lalu, pasangan ini akan mengekalkan trend positifnya untuk beberapa minggu akan datang. Sokongan utama untuknya akan berada pada paras 1.1400.
Untuk ramalan median, majoriti (50%) penganalisis di sini memihak kepada bear, 15% berpendirian neutral, manakala jumlah mereka yang menyokong pengukuhan nilai pound adalah 35%. Dalam kalangan pengayun pada D1, 100% adalah berwarna hijau, namun suku daripadanya sudahpun berada di zon lebihan belian. Dalam kalangan indikator trend, hanya 35% berwarna merah, 65% berwarna hijau. Paras dan zon sokongan untuk mata wang British adalah 1.1550, 1.1475-1.1500, 1.1400, 1.1350, 1.1230, 1.1100, 1.0985-1.1000, 1.0750, 1.0500 serta paras terendah pada 26 September lalu iaitu 1.0350. Apabila pasangan ini bergerak ke atas, bull akan berhadapan rintangan pada paras 1.1645, 1.1720, 1.1830, 1.1900, 1.1960, 1.2135 dan 1.2200.
Untuk peristiwa yang akan berlaku minggu hadapan, selain daripada mesyuarat Bank of England yang telah dinyatakan sebelum ini, kami boleh tekankan tentang penyiaran kadar Indeks Aktiviti Perniagaan (PMI) dalam sektor pembinaan di United Kingdom pada hari Jumaat, 4 November.
USD/JPY: Misteri Keruntuhan Pasangan Ini Terbongkar
- Seperti yang kami jangkakan pada bulan Mei, kedudukan USD/JPY mencecah 115.00 pada musim bunga, dan parasnya mencecah 151.94 pada hari Jumaat, 21 Oktober, kali ini mencecah paras tertinggi dalam tempoh 32 tahun. Walau bagaimanapun, situasi pertumbuhan pasangan ini telah diketahui terlebih dahulu dengan jelas semuanya. Namun apa yang mengejutkan adalah kejatuhan besar-besaran yang berlaku selepasnya. Pasangan ini menyusut lebih daripada 500 mata dalam masa beberapa minit: daripada 151.63 kepada 146.24. Mengikut Financial Times, buat masa ini pihak Bank of Japan (BOJ) telah menjual sekurang-kurangnya $30 bilion dalam percubaan mereka untuk menyokong yen. Pasangan ini mengubah arah pergerakannya dan naik sekali lagi setelah campur tangan itu: rupa-rupanya, $30 bilion itu tidak cukup. Satu lagi campur tangan berlaku pada hari Isnin, 24 Oktober, menyebabkan pasangan itu menyusut kepada 145.48. Kemudian, naik sekali lagi. Paras terendah minggu lalu berada di kedudukan 145.10, manakala paras terakhirnya adalah sedikit tinggi iaitu 147.40. Menjadi tanda tanya kerana semua lonjakan nilai mata wang Jepun ini berlaku berlatarbelakangkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Fumio Kishida, Perdana Menteri Jepun baru-baru ini iaitu “tidak inginkan pergerakan yen yang mendadak pada satu arah."
Kadar turun naik USD/JPY yang sangat tinggi seperti itu mengandaikan Kementerian Kewangan serta Bank of Japan perlu bertungkus-lumus untuk menghentikan permintaan terhadap dolar berbanding yen yang bermasalah. “Pihak berkuasa Jepun benar-benar kebingungan,” komen penganalisis ING. “Kami boleh faham dengan mudah tentang keinginan mereka untuk tidak melepasi paras 150.00 kerana keadaan pasaran yang sangat meruap, tetapi dengan membenarkan yen berada pada paras yang tinggi, timbul risiko yang boleh menyebabkan jualan mendadak mata wang itu dan Tokyo ingin menghalang ia daripada berlaku terlebih dahulu.”
“Melainkan pihak BoJ mengubah pendirian mereka untuk tidak begitu dovish, campur tangan tukaran asing kekal sebagai pilihan paling berdaya saing,” tambah ING. Namun, pihak BoJ nampaknya tidak akan mengetatkan polisi kewangan mereka. Penggubal dasar itu kekal dengan pendiriannya pada mesyuarat yang diadakan pada hari Jumaaat lalu, 28 Oktober dan mengekalkan kadar faedah mereka pada paras negatif, kadar yang terlalu dovish iaitu -0.1%. Maka dinamik pasangan itu sekarang bergantung kepada sama ada pihak BoJ memiliki wang yang mencukupi atau tidak untuk campur tangan dalam usaha untuk bertahan dengan kenaikan kadar Rizab Persekutuan AS.
Buat masa ini, separuh daripada penganalisis percaya bahawa terdapat wang yang mencukupi. Justeru, mereka bersetuju dengan trend penurunan pasangan ini. 30% penganalisis berpendirian neutral manakala 20% pula menunggu satu lagi kejayaan buat dolar. Pengayun pada D1 menunjukkan gambaran bercampur-campur: 50% menunjukkan pertumbuhan, 30% menunjukkan penurunan, dan 20% lagi neutral mendatar. Dalam kalangan indikator trend, 85% adalah berwarna hijau dan 15% lagi berwarna merah. Sokongan paling hampir berada pada paras 146.90, kemudian 145.30, 143.75, 140.60, 140.00, 138.35-139.05 dan 137.40. Rintangan berada pada paras 148.45, 149.45, 150.00, 151.55. Tugas bull adalah untuk naik semula dan berada pada kedudukan di atas paras 152.00. Sasaran berikutnya adalah paras tertinggi pada tahun 1990 di sekitar 158.00.
Tiada statistik penting mengenai keadaan ekonomi di Jepun yang dijangka akan dikeluarkan pada minggu ini. Satu yang menarik perhatian adalah laporan mesyuarat Jawatankuasa Polisi Kewangan Bank of Japan yang akan dikeluarkan pada hari Rabu, 2 November, di mana peserta pasaran akan cuba mencari sekurang-kurangnya petunjuk jika terdapat kemungkinan pendirian penggubal dasar itu akan berubah. Disamping itu, para pelabur harus ingat bahawa hari Khamis, 3 November adalah hari cuti kerana negara itu menyambut Hari Budaya Kebangsaan. Sudah tentu, jangan dilupakan tentang kemungkinan terdapat “kejutan” dalam bentuk campur tangan BoJ untuk menyokong yen.
MATA WANG KRIPTO: Lonjakan Semata-mata? Atau Melonjak Sebelum Jatuh?
- Disebabkan oleh pertumbuhan kadar indeks saham AS (S&P500, Dow Jone dan Nasdaq) pada minggu lalu, nilai bitcoin dan ethereum bertambah, membawa kegembiraan kepada para pelabur. Disebabkan oleh hakikat bahawa BTC/USD telah gagal untuk berada di atas paras $20,400 sejak 13 September lalu, bolehlah bull menganggap perkara yang berlaku ini sebagai satu kejayaan. Walau bagaimanapun, perlu diketahui bahawa pasangan ini telah bergerak di sepanjang Pivot Point $20,000 dalam koridor mendatar untuk jangka masa sederhana antara $18,100-25,000 selama 19 minggu, sejak pertengahan bulan Jun. Maka, kenaikan ke paras tertinggi bagi tujuh hari terakhir iaitu $21,015 ini hanya boleh dianggap sebagai kejayaan yang sangat kecil, bukannya perubahan trend bearish.
Pengetatan polisi kewangan Rizab Persekutuan yang begitu intensif sudahpun meletakkan ekonomi AS di ambang kegawatan. Satu lagi langkah pengetatan diambil, kegawatan ekonomi pasti akan berlaku. Sesetengah penganalisis percaya bahawa kegawatan ekonomi akan memaksa pihak Bank Persekutuan AS untuk mengakhiri pengetatan kuantitatif (QT) mereka, setidak-tidaknya buat sementara, tanpa membendung kadar inflasi sehingga ke penghujungnya. Melihat kepada perkara ini, korelasi antara harga bitcoin dan emas sepanjang 40 hari yang lalu telah mencecah nilai 0.5 yang begitu bermakna, kenaikan yang agak kuat setelah indikator ini hampir menunjukkan angka sifar pada pertengahan bulan Ogos. Bank of America berpendapat bahawa “kadar hubung kaitnya dengan emas yang naik dengan mendadak menunjukkan para pelabur mungkin melihat bitcoin sebagai aset yang agak selamat dalam situasi makroekonomi dunia yang masih tidak menentu, serta kedudukan terendah di pasaran mungkin akhirnya akan ditentukan".
Komuniti bitcoin berbelah bahagi sama ada nilai BTC akan naik atau jatuh pada tahun hadapan. Ada sebab untuk mempercayai nilai BTC mungkin akan jatuh mendadak pada beberapa bulan akan datang tetapi naik selepas itu pada pertengahan sehingga hujung tahun 2023. Kebanyakan penganalisis dan juga indikator teknikal mencadangkan bahawa nilai bitcoin boleh jatuh ke paras antara $12,000-$16,000 pada beberapa bulan akan datang. Hal ini berkait dengan situasi yang tidak menentu pada persekitaran makro, harga saham, kadar inflasi, data Rizab Persekutuan, dan (setidak-tidaknya menurut Elon Musk) kegawatan ekonomi yang akan berlaku sehingga tahun 2024.
Sebagai contoh, pedagang terkenal iaitu Ton Weiss percaya bahawa dengan melihat kepada proses pengurangan penghasilan yang akan dilaksanakan pada tahun 2024, sebut harga mata wang kripto pertama itu boleh mencecah $100,000 pada tahun hadapan. Namun dalam masa yang sama, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa harga emas digital itu akan turun ke paras $10,000-14,000 sebelum berlakunya pasaran bull. Menurut Weiss, aliran modal dari Eropah ke Amerika Syarikat serta sindrom takut rugi boleh menjadi pendorong kepada pertumbuhannya. “Mereka terlepas peluang untuk melabur semasa nilainya paling rendah pada 2018. Ini adalah peluang kedua. Jika nilai bitcoin jatuh di bawah paras $10,000, para pelabur akan melabur di dalamnya dengan serta-merta,” jelas pedagang itu.
Kebanyakan penganalisis mengatakan bahawa pengurangan penghasilan yang akan datang boleh menolak harga BTC ke atas dengan ketara. Pendapat ini turut dikongsikan oleh penganalisis terkenal yang memberikan unjuran pergerakan harga mata wang kripto utama berdasarkan kepada model Stock-to-Flow (S2F) iaitu PlanB. Beliau juga mendapat sokongan rakan pedagang dan juga penganalisis iaitu Josh Rager yang turut menjangkakan kenaikan mendadak harga bitcoin, namun hanya setelah proses pengurangan penghasilan berlaku pada tahun 2024. Pada pendapat beliau, kadar pertumbuhan tidak harus ditunggu sebelum berlakunya proses tersebut.
Seperti yang anda ketahui, kali terakhir pengurangan penghasilan bitcoin dilakukan adalah pada 11 Mei, 2020 apabila pulangan bagi setiap penghasilan bloknya dikurangkan kepada 6.25 BTC. Ganjaran ini akan dikurangkan lagi kepada 3.125 BTC untuk setiap blok pada pengurangan penghasilan kali keempatnya yang dijangka akan dilaksanakan pada bulan Mei 2024.
Pedagang dan juga penganalisis lagenda iaitu Peter Brandt juga mempunyai pendapat yang sama. Beliau berkata nilai bitcoin boleh mencecah paras tertinggi sepanjang zaman yang baru kira-kira 32 bulan lagi, namun kedudukannya perlu jatuh dahulu ke paras $13,000. Penganalisis itu percaya bahawa mata wang kripto pertama ini akan menemui paras paling rendahnya pada awal tahun 2023 dan akan menunjukkan prestasi “cemerlang” pada setahun setengah berikutnya.
Menurut Brandt, pihak Rizab Persekutuan AS tidak akan melonggarkan polisi kewangan mereka. Beliau mengandaikan bahawa penggubal dasar itu akan menaikkan kadar faedahnya sekurang-kurangnya dua kali lagi sebanyak 75 mata asas menjelang akhir tahun 2022 bagi membendung kadar inflasi. Namun, penganalisis itu menjangkakan pada satu ketika nilai mata wang kripto pertama tersebut tidak lagi akan bergantung kepada pasaran lain. “Akhirnya nilai bitcoin akan berkorelasi dengan bitcoin,” jelas Brandt. Penganalisis itu juga sedia maklum bahawa mata wang kripto akan menjadi “alat penyimpan nilai yang utama” dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Jika diingat Peter Brandt telah bekerja dalam pasaran kewangan lebih daripada 40 tahun, beliau adalah pencipta perkhidmatan Factor Trading yang menyediakan laporan para penganalisis dan juga carta analisis nilai aset. Brandt juga telah berulang kali menyatakan bahawa bitcoin adalah salah satu portfolio pelaburan terbesarnya.
Inilah masanya untuk membincangkan lebih lanjut tentang ramalan bagi 2 bulan yang akan datang. Kebanyakan daripada 564 orang pelabur kripto yang ditinjau oleh MLIV Pulse merasakan bahawa bitcoin akan terus didagangkan pada julat harga antara $17,600-25,000. Mengikut kaji selidik yang dijalankan oleh syarikat kewangan Finder untuk bulan Oktober, mata wang kripto pertama ini akan didagangkan pada kadar $21,344 menjelang hujung tahun ini.
Unjuran oleh CEO firma dagangan Eight iaitu Michael van de Poope adalah sedikit lebih optimis. Beliau percaya bahawa nilai bitcoin telah terlalu lama bergabung di sekitar $20,000 dan seharusnya keluar dari koridor tersebut tidak lama lagi untuk merancakkan keadaan. “Nilai bitcoin akan menembusi kesemua paras dalam tempoh antara dua hingga tiga minggu lagi. Saya rasa penembusan itu ke arah atas. Saya rasakan nilainya akan mencecah $30,000.” Pertumbuhan ini telah dibuktikan oleh aliran keluar BTC dari bursa berpusat: para pelabur mengeluarkan dana ke dalam walet luar talian sementara menunggu nilai mata wang kripto pertama itu menjadi lebih kukuh.
Dalam pada itu, penganalisis lain percaya bahawa kita tidak akan dapat lihat nilainya melonjak sama ada dalam masa terdekat mahupun pada tahun 2023. Gareth Soloway dari InTheMoneyStocks telah menunjukkan terdapat kemungkinan kecil nilai coin itu boleh jatuh ke paras $3,500. “Saya rasa kita boleh lihat lantunan kecil tidak lama lagi, kemudian penurunan ke paras antara $12,000-13,000, dan selepas itu, saya takut ia akan turun lagi di antara $8,000-10,000, malah mungkin kejatuhan ke paras $3,500,” jelas beliau. Dalam masa yang sama, Gareth Soloway memberi amaran bahawa jika nilai BTC jatuh ke paras $12,000 atau lebih rendah lagi, ia mungkin tidak akan memberi pulangan kepada para penghasil untuk menguruskan ekosistemnya. Ini mungkin bermaksud terdapat transaksi yang tidak akan diproses. Jika hal tersebut berlaku, ia bukan saja akan mengganggu industri ini, malah ia juga akan merosakkan pasaran bitcoin.
Menurut hartawan Frank Giustra, pengakhiran era bitcoin akan hebat diperkatakan oleh pihak berkuasa AS yang lambat laun akan menghancurkan mata wang kripto. “Saya rasa pihak berkuasa AS benar-benar mahu menjadi peneraju dalam bidang blockchain, bukannya bitcoin, tetapi dalam mata wang digital milik kerajaan yang dikawal mereka sepenuhnya. Seperti negara-negara lain, mereka tidak mahu bitcoin menjadi saingan. Justeru, saya melihat BTC sebagai satu permainan dalam menentang wang fiat kerajaan,” jelas Giustra yang menambah bitcoin tidak berpeluang untuk menyerlah di mata kerajaan-kerajaan dunia.
Sudah pasti, kenyataan seperti itu adalah agak membimbangkan. Namun kami tidak akan berasa demikian sebelum kami mengakhiri ulasan ini dengan sedikit maklumat optimis. Mengikut kaji selidik oleh syarikat kewangan Finder yang disebutkan tadi, unjuran median para penganalisis bagi harga BTC adalah ia akan mencecah $270,722 menjelang tahun \2030.
Dalam pada itu, semasa ulasan ini dibuat, pada petang Jumaat, 28 Oktober, pasangan BTC/USD didagangkan di zon $20,600, jumlah keseluruhan modal pasaran kripto adalah $1.005 trilion ($0.913 trilion seminggu lalu). Kadar Indeks Fear & Greed Kripto naik 7 mata dalam masa tujuh hari daripada 23 kepada 30 dan bergerak dari zon Extreme Fear ke zon Fear. Mengikut pencipta indeks tersebut, agak berbaloi sekarang ini untuk memikirkan tentang membuka posisi long. Namun begitu, pada pendapat kami, situasinya sekarang agak tidak menentu, dan para pedagang perlu mengambil langkah berjaga-jaga serta berdagang dengan berhati-hati sebanyak mungkin.
Bahagian Analisis NordFX
Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.
Kembali Kembali