EUR/USD: Adakah Pasaran Dirasuk Hantu?
- Sepanjang minggu lalu, pasangan EUR/USD bergerak secara mendatar di sepanjang garis 0.9700 kerana pasaran menunggu data kadar inflasi di AS dikeluarkan. Hanya pada hari Khamis, Jabatan Statistik Buruh mengeluarkan data Indeks Harga Pengguna (CPI) yang baru, dan kadarnya melebihi nilai unjuran. Dari segi bulanan, kadar CPI untuk bulan September mencecah 0.6% berbanding 0.5% yang diunjur, dari segi tahunan - 6.6% berbanding 6.5% yang diunjur dan nilai sebelumnya iaitu 6.3%.
Reaksi awal pasaran adalah seperti yang dijangka. Kadar indeks dolar DXY naik sebanyak 113.94 mata (kadar tertinggi sejak 28 September, apabila kadar tertinggi selama 20 tahun iaitu 114.79 berjaya dicapai), hasil bon 10 tahun perbendaharaan memperbaharui jumlah tertingginya, mencecah 4.08%, manakala kedudukan EUR/USD pula mencecah paras 0.9630. Kadar indeks S&P500 susut sebanyak 2.4% dan memperbaharui paras terendahnya sepanjang 2 tahun. Kadar indeks Dow Jones, Nasdaq dan juga kripto turut susut dengan cara yang sama.
Namun sesuatu yang luar biasa telah berlaku dalam masa kurang daripada sejam: pergerakan semua pasaran berubah ke arah bertentangan secara tiba-tiba, seperti dirasuk hantu. Lebih-lebih lagi, ia berlaku tanpa sebarang sebab yang jelas.
Nilai dolar mula hilang kedudukannya dengan mendadak: kadar DXY susut kepada 112.46, manakala paras EUR/USD melepasi 0.9800. Namun sebaliknya, kadar S&P500 mula pulih menjelang petang Khamis dan bertumbuh sebanyak 2.6%. Penganalisis memetik lebihan jualan yang berlaku di pasaran saham serta pertambahan selera risiko yang mendadak sebagai punca utama kepada perubahan sentimen ini. Dipercayai bahawa pasaran saham mengalami kerugian kira-kira 30% dalam tempoh berlakunya kemelesetan. Pada waktu itu, kadar S&P500 turun sebanyak 27.5% untuk tahun 2022. Justeru, sebilangan pelabur merasakan ia telah pun mencecah paras terendahnya atau akan mencecahnya tidak lama lagi, dan inilah masanya untuk mula membuat pembelian. Sebahagian besar opsyen put di pasaran AS telah dibeli baru-baru in di mana pengambilan untung telah dilakukan, dan fiat yang diperolehi diguna untuk membeli aset berisiko.
Walaupun dengan hal yang berlaku pada minggu lalu, pendapat pasaran mengenai kenaikan lebih tinggi kadar faedah oleh pihak Rizab Persekutuan AS masih tidak berubah. Pelabur dan juga seorang hartawan iaitu Ray Dalio telah memberikan amaran bahawa AS akan dilanda dengan “ribut sempurna” yang dipenuhi dengan masalah: kombinasi hutang, persaingan politik dan juga konflik luar negara. Namun dalam masa yang sama, walaupun diancam dengan kegawatan, pihak Rizab Persekutuan tidak ada pilihan lain lagi untuk memerangi kadar inflasi.
Tanpa rasa ragu-ragu pasaran menjangkakan kadar utamanya akan dinaikkan sebanyak 75 mata asas (bp) pada mesyuarat FOMC (Federal Open Market Committee) yang akan datang pada 2 November nanti. Pasaran derivatif terbesar di Amerika Utara, CME Group menganggarkan kadar kebarangkaliannya adalah melebihi 90%. Lebih-lebih lagi, kadar ini mungkin juga akan dinaikkan sebanyak 75 bp lagi pada bulan Disember (atau unjuran yang lain, 50 bp pada bulan Disember dan 50 bp lagi pada Q1 2023). Kadar tertinggi bagi kenaikan ini dijangka berada pada paras 4.93-5.00% setiap tahun, dan kadar ini mungkin kekal sehingga tahun 2024.
Bagi Kesatuan Eropah, wakil pihak ECB dan juga ketua Bank Persekutuan Slovakia iaitu Peter Kazimir menyatakan baru-baru ini bahawa “kenaikan kadar sebanyak 75 bp pada bulan Oktober adalah bersesuaian”. Walau bagaimanapun, hampir tiada sebarang kesan yang berlaku di pasaran. Pakar ekonomi di Commerzbank masih menjangkakan pihak penggubal dasar Kesatuan Eropah itu hanya akan menaikkan kadar faedah mereka sebanyak 3.0% menjelang Mac tahun hadapan. Maka, kadarnya masih jauh ketinggalan di belakang kadar faedah USD.
Selain itu, krisis tenaga serta masalah-masalah berkaitan sekatan terhadap Rusia yang disebabkan oleh pencerobohannya ke atas Ukraine juga terus memberi tekanan kepada mata wang Eropah. Menurut penganalisis di Commerzbank, nilai euro hanya akan mula pulih apabila para pelabur menambah lebih banyak pelaburan lagi pada penghujung krisis tahun hadapan. Dalam pada itu, mereka menjelaskan, “pengetatan polisi kewangan yang lebih tegas serta keadaan ekonomi AS yang luar biasa kukuh akan menjadikan dolar AS sebagai mata wang kegemaran pelabur antarabangsa.”
Justeru, sasaran jangka pendek untuk EUR/USD masih lagi menurun. Menurut unjuran pakar strategi DBS Bank, jika kedudukannya menembusi paras sokongan penting di bawah paras 0.9600, ia mungkin akan jatuh ke paras antara 0.8270-0.9500 yang pernah didudukinya pada tahun 2000-2002.
Berikutan penyampaian data Jualan Runcit di AS dan juga kadar Indeks Sentimen Pengguna University of Michigan untuk bulan September, pasangan EUR/USD didagangkan di zon 0.9750 semasa ulasan ini dibuat pada petang Jumaat, 14 Oktober. 55% penganalisis menyokong tentang hakikat bahawa ia akan terus bergerak ke bawah dalam masa terdekat ini, 35% lagi menjangkakan pertumbuhan, manakala baki 10% memilih trend mendatar. Dalam kalangan indikator trend pada D1, 90% adalah berwarna merah dan 10% berwarna hijau. Gambarannya agak berbeza dalam kalangan pengayun: hanya 40% daripadanya menasihatkan untuk menjual pasangan ini, 15% lagi bersetuju dengan belian, dan 55% pula berpendirian neutral.
Sokongan terdekat untuk EUR/USD berada pada paras 0.9700, diikuti dengan 0.9670, 0.9630, 0.9580 dan akhir sekali paras terendah 28 September lalu iaitu 0.9535. Sasaran bear selepas itu adalah 0.9500. Paras rintangan serta sasaran bull adalah seperti berikut: 0.9800-0.9825, 0.9900, tugas utamanya adalah untuk kembali berada di antara 0.9950-1.0020, sasaran berikutnya berada di sekitar 1.0130-1.0200.
Perkara penting dalam kalendar untuk minggu hadapan adalah penyampaian kadar Indeks Sentimen Ekonomi ZEW di Jerman pada hari Selasa, 18 Oktober. Kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) di Eurozone akan diketahui. Data aktiviti pembuatan serta pasaran hartanah di AS akan dikeluarkan pada hari Khamis, 20 Oktober.
GBP/USD: UK Mengubah Haluan
- Secara umumnya, carta pasangan GBP/USD adalah agak sama dengan carta EUR/USD pada minggu lalu, kecuali kadar kemeruapannya. Paras terendah mingguan berada pada kedudukan 1.0922, paras maksimumnya - 1.1380, maka julat turun naik sepanjang tempoh lima hari adalah berjumlah lebih daripada 450 mata.
Statistik ekonomi di UK yang dikeluarkan pada minggu ini dilihat bercampur-campur. Hari Jumaat, 14 Oktober menjadi hari yang mencuri tumpuan apabila Perdana Menteri Liz Truss memecat Setiausaha Perbendaharaan iaitu Quasi Kwarteng. Kini, setelah berlakunya kejadian itu, pasaran menantikan butir-butir tentang belanjawan mini negara tersebut yang akan datang. Bekas Setiausaha Luar British iaitu Jeremy Hunt telah dilantik sebagai Canselor Perbendaharaan yang baru, dan Liz Truss telah mengumumkan perubahan dramatik dalam polisi fiskalnya. Namun, setakat ini perkara itu tidak banyak membantu mata wang British: kedudukannya berada di sekitar 1.1200 menjelang hari terakhir bekerja.
Bagi unjuran median, majoriti penganalisis (75%) di sini memihak kepada bear, 25% lagi berpendirian neutral, manakala tiada siapa yang menjangkakan pengukuhan nilai pound. Dalam kalangan pengayun pada D1, nisbah yang memberi kelebihan kepada warna merah adalah 60% berbanding 40%. Dalam kalangan indikator trend, hanya 15% yang berwarna merah, 40% berwarna hijau, dan baki 45% lagi berwarna kelabu neutral.
Paras dan zon sokongan terdekat adalah 1.1100, 1.1055, 1.0985-1.1000, 1.0925. Ia diikuti dengan 1.0500-1.0740 serta paras terendah pada 26 September lalu iaitu 1.0350. Jika pasangan ini bergerak ke atas, bull akan bertemu rintangan pada paras 1.1300, 1.1350, 1.1400, 1.1470, 1.1500, 1.1610, 1.1720, 1.1800 dan 1.1960.
Berkenaan penyiaran statistik makro di UK, kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) akan dikeluarkan pada hari Rabu, 19 Oktober, sama seperti untuk Eurozone, manakala data jualan runcit di UK untuk bulan September akan diumumkan pada hari Jumaat, 21 Oktober.
MATA WANG KRIPTO: Apakah Nilai BTC pada 9 Oktober, 2024?
- Keadaan di pasaran kripto agak tenang sehinggalah pada hari Khamis, 13 Oktober. Walaupun berhadapan dengan tekanan ke bawah, pasangan BTC/USD dilihat agak stabil, mengekalkan kedudukannya di sekitar $19,000. Walau bagaimanapun, parasnya jatuh setelah nilai kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) di AS diketahui, mengikuti jejak langkah indeks S&P500, Dow Jones dan juga Nasdaq. Namun, penurunan itu tidaklah sehingga mencecah paras terendah 19 Jun iaitu $17,940, dan setelah menemui paras terendah mingguan pada $18,155, kedudukannya naik mendadak, sama seperti yang dialami indeks-indeks saham. Semasa ulasan ini dibuat, pada petang Jumaat, 14 Oktober, pasangan ini didagangkan di zon $19,375.
Menurut pedagang di Bursa Saham Amsterdam iaitu Michael van de Poppe, kadar turun naik harga bitcoin akan bertambah pada dua minggu terakhir bulan Oktober. Data kadar inflasi di AS, bersama-sama dengan data terkini jualan runcit serta dinamik pasaran buruh akan memberi kesan hebat terhadap pasaran mata wang kripto dan juga di Wall Street. Faktor penting seterusnya akan berlaku pada awal November, apabila pihak Rizab Persekutuan mungkin akan menaikkan penanda aras kadar faedah mereka sebanyak 0..75%. Berdasarkan perkara ini, pakar strategi JP Morgan menjangkakan penyusutan kadar indeks S&P500 yang baru, kira-kira sebanyak 20% lagi. Maka, jumlah kerugian belum terealisasi mereka yang melabur di dalam saham 500 syarikat-syarikat terbesar AS sejak awal tahun 2022 boleh melebihi 44%. Walau bagaimanapun, seperti krisis yang berlaku di UK baru-baru ini, kebanyakan pelabur kripto berharap agar bitcoin akan memainkan peranannya sebagai emas digital dan tidak menyusut seperti aset-aset yang lain. Semuanya akan menjadi lebih jelas tidak lama lagi jika harapan ini akan menjadi kenyataan atau tidak.
Jika dilihat semula unjuran terkini para penganalisis, palet warnanya adalah seperti berikut: unjuran jangka pendek adalah hitam gelap, unjuran jangka sederhana berwarna kelabu, dan unjuran jangka panjang adalah biru langit.
Dalam kalangan hitam gelap, untuk kali ini kita akan tumpukan kepada senario yang diberi oleh Zack Voell, seorang penganalisis penghasilan di Braiins. Baru-baru ini beliau telah berkongsikan satu model yang mencerminkan prestasi harga BTC pada kitaran bearish sebelum ini. Zack Voell mengkaji pergerakan sebut harga kesemua tempoh antara paras tertinggi dan juga terendah yang telah dilaluinya sebelum ini, dan daripada hasil kajian yang diperolehi, beliau menjangkakan kadar BTC akan turun ke paras $13,800.
Penganalisis itu menekankan bahawa beliau mengkaji pergerakan harga bitcoin pada tahun 2011, kemudian antara tahun 2013-2015 dan 2017-2018, serta kitaran semasa yang mula berlaku pada November 2021. Menurutnya, nilai mata wang kripto telah dua kali menyusut lebih daripada 80% berbanding nilai tertingginya. Jika sejarah berulang semula, kadarnya akan turun sekurang-kurangnya ke paras ini atau mungkin lebih rendah. Beliau sedia maklum antara lainnya kitaran bearish pada tahun 2011 telah mengakibatkan nilai BTC menyusut sebanyak 95%. Namun, perkara itu berlaku semasa mata wang kripto secara dasarnya masih lagi asing buat kebanyakan orang dan belum ramai lagi yang menggunakannya.
Voell juga maklum bahawa walaupun terdapat sentimen negatif, bitcoin adalah aset paling menguntungkan untuk Q3 2022. Emas digital itu telah menunjukkan tahap kestabilan yang sangat tinggi dalam beberapa bulan kebelakangan ini. (Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh NYDIG, selain BTC, hanya logam berharga dan juga fiat USD adalah yang menguntungkan dalam Q3).
Sekarang mari bincangkan apa yang mungkin berlaku pada suku terakhir, Q4 2022. Mike McGlone, pakar strategi kanan di Bloomberg Intelligence menjangkakan kenaikan harga bitcoin menjelang akhir tahun 2022. Emas digital itu dan juga ethereum lebih cenderung untuk mengatasi prestasi kebanyakan aset utama yang lain semasa berlakunya kegawatan ekonomi. Justeru, McGlone menggelar kenaikan kadar faedah oleh pihak Bank Persekutuan sebagai “ekor angin yang kuat”. Beliau maklum bahawa bulan Oktober telah menjadi bulan terbaik untuk bitcoin sejak tahun 2014. Dalam masa yang sama, penganalisis itu percaya bahawa peralihan ethereum kepada algoritma konsensus Proof-of-Stake boleh membantu ETH dan BTC untuk masing-masing berada di atas paras $1,000 dan $20,000.
Kedudukan nilai ethereum dan bitcoin seperti itu mungkin tidak akan mengagumkan para pelabur. Justeru, unjuran oleh pakar strategi Bloomberg Intelligence ini boleh dikategorikan sebagai kelabu neutral. Mari beralih pula kepada senario biru langit.
Dalam temu bual bersama CNBC, Paul Tudor Jones, seorang pelabur dan juga pengasas syarikat Tudor Investment Hedge Fund berkata bahawa beliau terus bertahan dengan pemilikannya dalam mata wang kripto pertama itu. Menurut orang berpengaruh tersebut, kedua-dua mata wang kripto dengan jumlah modal tertinggi dan kedua tertinggi itu akan menjadi lebih berharga “pada suatu masa nanti” kerana terdapat begitu banyak wang.
Menurut Raoul Pal, waktu itu akan tiba apabila pihak Rizab Persekutuan menghentikan rancangan mereka untuk mengetatkan polisi kewangan bagi memerangi kadar inflasi. Pengasas syarikat Real Vision dan juga bekas ketua eksekutif Goldman Sachs itu berkata bahawa latar belakang makroekonomi mula kelihatan menarik untuk melabur dalam mata wang kripto. Kebanyakan pelabur kini berada dalam keadaan ketakutan melampau, takut sistem kewangan global akan mengalami kegagalan tidak lama lagi. Hal ini mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan kadar aset berisiko seperti bitcoin dan altcoin.
Menurut ahli perniagaan itu, para pelabur bersikap negatif dan melabur dengan selamat. Sebelum ini, pasaran menerima jumlah pelaburan yang sangat besar, tetapi keadaan pasaran sekarang bukan lagi seperti itu kerana penjual mendominasi pembeli. Situasi ini mungkin akan mendorong pihak Rizab Persekutuan untuk melonggarkan polisi kewangan mereka.
“Buat masa ini tiada sebarang likuiditi yang ada di pasaran kerana hanya tinggal penjual di sana. Saya rasa ini akan menimbulkan masalah besar pada masa hadapan. Akhirnya, perniagaan akan menuntut lebih banyak wang dikeluarkan dan mengubah situasi di pasaran,” jelas Raul Pal. Setelah bank Persekutuan mula mencetak wang semula, nilai aset seperti bitcoin dan altcoin akan naik. “Ini adalah perkara yang menyedihkan, tetapi inilah situasinya sekarang,” kata ahli kewangan itu. “Anda akan dapat lihat apabila situasinya berubah dan menggunakan kelebihan itu dengan melabur ke dalam mata wang kripto.”
Penganalisis kripto popular yang dikenali sebagai Dave the Wave telah menjangkakan kejatuhan nilai bitcoin pada Mei 2021 dengan tepat. Sekarang beliau percaya bahawa jika jumlah modal pasaran bitcoin menyamai jumlah modal pasaran emas untuk jangka masa panjang, maka jumlah itu adalah bersamaan dengan peningkatan harga kira-kira sebanyak 40 kali ganda. Menurut penganalisis itu, sasaran global ini boleh dicapai dalam masa dua dekad.
Carta pelangi oleh Blockchain Center tidak kurang juga optimisnya. (Ia agak berbeza daripada ramalan kami). Ia menunjukkan bagaimana statistik harga lampau dapat membantu menjangkakan pergerakan nilai aset ini pada masa hadapan. Untuk jangka masa panjang, graf ini menunjukkan bitcoin mampu mencecah nilai enam angka iaitu $626,383 pada 9 Oktober, 2024. Kedudukan mata wang kripto terunggul ini akan berada “di kawasan gelembung maksimum” selepas itu yang ditanda dengan warna merah.
Disamping itu, carta ini menunjukkan musim dingin kripto yang berlaku sekarang mungkin telah mencecah paras terendahnya. Penting untuk mengetahui bahawa harga semasa bitcoin dianggar akan berada di zon “Main Sale” (ditanda warna biru). Menunggu satu lagi lonjakan bull, carta pelangi juga menunjukkan status “HODL” bitcoin akan mengambil tempat menjelang hujung tahun ini apabila aset ini didagangkan pada nilai $86,151.
Warna bar mengikuti regresi logaritma sepenuhnya, langsung tidak berasaskan saintifik. Selain itu, jalurnya telah diselaraskan bagi menyamai tempoh sebelum ini dengan cara yang lebih baik. Namun, pencipta carta ini sedia maklum bahawa setidak-tidaknya itulah cara paling menarik untuk melihat potensi kadar keuntungan mata wang kripto utama pada masa hadapan.
Semasa ulasan ini dibuat, jumlah keseluruhan modal pasaran kripto adalah sebanyak $0.927 trilion ($0.946 trilion seminggu lalu). Kadar Indeks Fear & Greed Kripto naik 1 mata dalam tempoh tujuh hari daripada 23 mata kepada 24 mata dan masih berada di zon Extreme Fear.
Bahagian Analisis NordFX
Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.
Kembali Kembali