Ramalan Forex dan Mata Wang Kripto bagi 26 - 30 September, 2022

EUR/USD: Mencari Paras Paling Rendah yang Baru

  • Minggu lalu, semua perhatian pasaran tertumpu kepada mesyuarat FOMC Rizab Persekutuan AS yang diadakan pada 21 September. Kadar kebarangkalian untuk satu lagi kenaikan kadar faedah sebanyak 75 mata asas (bp) dianggarkan sebanyak 74%, manakala kenaikan sebanyak 100 mata asas adalah 26%. Unjuran yang pertama ternyata menjadi kenyataan: kadar faedahnya dinaikkan daripada 2.50% kepada 3.25%. Kenaikan ini sudah cukup untuk melonjakkan kadar indeks dolar DXY dan telah melebihi 113.00 mata, memperbaharui lagi paras tertinggi sepanjang 20 tahun. Sehubungan itu, seperti yang dijangka oleh majoriti (75%) penganalisis, pasangan EUR/USD memperbaharui satu lagi paras terendah sepanjang 20 tahun, mencecah paras 0.9667.

    Presiden Rusia iaitu Vladimir Putin turut menyumbang kepada penyusutan nilai euro serta penurunan kadar pasangan tersebut, apabila beliau mengumumkan mobilisasi sebahagian daripada tentera simpanannya bagi memperkukuhkan lagi pencerobohan tentera Rusia ke atas Ukraine. Presiden Putin juga mengulang semula ugutan beliau untuk menggunakan senjata nuklear, hal ini menambah lagi ketegangan yang berlaku di rantau itu. Disamping itu, musim sejuk akan tiba di Eropah tidak lama lagi, dan Rusia terus memberi tekanan dengan menggunakan masalah kekurangan bekalan tenaga sebagai “senjata".

    Dalam mesyuarat sebelum ini, pihak Rizab Persekutuan telah memberi isyarat bersifat hawkish yang jelas terhadap pasaran mengenai tindakan mereka yang seterusnya. Mereka akan meneruskan polisi pengetatan kuantitatif (QT), termasuklah mengurangkan penyata imbang, dan mengekalkan kadar faedah yang tinggi pada tahun 2023. Mengikut anggaran CME Group, kadar kebarangkalian untuk kadar faedahnya melebihi 4.00% bagi tahun semasa iaitu 2022 menjelang hujung suku Q4 adalah hampir sebanyak 60%.

    Menurut pegawai bank Persekutuan AS, mengekang kadar inflasi kini menjadi keutamaan. Untuk melaksanakannya, penggubal dasar itu bersedia untuk menerima ancaman kemelesetan termasuklah penurunan jumlah pengeluaran dan juga penggunaan, serta masalah yang dihadapi oleh pasaran buruh.

    Para pelabur lari daripada risiko dengan memilih dolar sebagai aset selamat. Kadar indeks saham AS menyusut untuk dua minggu berturut-turut. Kadar indeks S&P500 berada di bawah paras terendah bulan Julai, manakala indeks Dow Jones mencecah kadar terendahnya untuk bulan Jun.

    Paras terakhir minggu lalu untuk EUR/USD berada pada kedudukan 0.9693. Semasa ulasan ini dibuat, pada petang Jumaat, 23 September, pendapat penganalisis adalah seperti berikut. 55% penganalisis berpendapat pasangan ini akan terus bergerak ke bawah dalam masa terdekat, manakala 45% lagi menjangkakan pembetulan ke atas. Untuk indikator trend pada D1, 100% adalah berwarna merah, peratusan yang sama ditunjukkan dalam kalangan pengayun, walaupun 25% daripadanya sudahpun menunjukkan pasangan ini memiliki lebihan jualan.

    Sokongan terdekat pasangan ini adalah paras terendah pada 23 September iaitu 0.9667, dan bear mensasarkan paras 0.9500. Paras serta sasaran rintangan untuk bull pula adalah seperti berikut: 0.9700-0.9735, 0.9800-0.9825, 0.9900, tugas utamanya adalah untuk kembali berada pada julat antara 0.9950-1.0020, sasaran berikutnya berada di sekitar 1.0130-1.0200.

    Kita akan mendapati pelbagai statistik makro ekonomi pada minggu ini. Ia akan dimulakan dengan kadar KDNK (Q3) serta data keadaan perniagaan IFO di Jerman yang akan dikeluarkan pada hari Isnin, 26 September. Data dari pasaran pengguna AS akan diketahui pada keesokan harinya, manakala kadar KDNK (Q2) di AS akan diketahui pada hari Khamis, 29 September. Statistik jualan serta keadaan pasaran buruh di Jerman, dan juga pasaran pengguna di Eurozone (CPI) dan di Amerika Syarikat akan dikeluarkan pada hari dagangan terakhir untuk minggu dan bulan ini iaitu 30 September. Selain itu, Presiden ECB iaitu Christine Lagarde akan menyampaikan ucapan beliau pada 26 September ini, manakala Jerome Powell selaku Pengerusi Rizab Persekutuan akan menyampaikan ucapan beliau pada 27 September.

GBP/USD: Balik ke Masa Lalu: Kembali ke Tahun 1985

  • Bank of England telah menaikkan kadar pound sebanyak 50 mata asas menjadi 2.25% sehari selepas pihak Rizab Persekutuan bermesyuarat, pada hari Khamis, 22 September. Namun, seperti yang dijangka, perkara ini tidak banyak membantu mata wang British itu. Lebih tepat lagi, melihat kepada keadaan makroekonomi, ia langsung tidak membantu. Hanya dalam masa 10 hari, dari 13 hingga 23 September, kadar GBP/USD susut kira-kira 900 mata, turun ke paras paling rendahnya dalam tempoh 37 tahun. Ia turun ke kedudukan paling rendah iaitu 1.0838 pada hari Jumaat, paras yang sama ia berada pada tahun 1985.

    Data ekonomi dari United Kingdom yang mengecewakan terus memberi kesan kepada pound. Aktiviti perniagaan dalam sektor swasta terus berkurang. Kadar indeks Komposit Awal PMI yang diunjur sebanyak 49.0 mata sebenarnya turun daripada 49.6 kepada 48.4 dalam masa sebulan. Selain itu, satu kaji selidik yang dijalankan oleh pihak Konfederasi Industri British (CBI) yang mengumpulkan pendapat bagi pihak 190,000 perniagaan menunjukkan keseimbangan jualan runcit jatuh kepada -20 untuk bulan September daripada +37 pada bulan Ogos.

    Menurut unjuran Bank of England sendiri, negara itu sudah dekat dengan kegawatan. Mengikut anggaran pihak British Chamber of Commerce (BCC), keadaan gawat sudah pun berlaku sepenuhnya, dan kadar inflasi akan mencecah 14% menjalang akhir tahun ini. Tahun depan juga tidak memberi petanda yang baik: menurut pakar strategi di Goldman Sachs, kadar inflasi mampu mencecah 22% menjelang akhir tahun 2023.

    Untuk mengekangnya, pihak Bank of England telah beralih kepada kenaikan kadar faedah yang lebih agresif. Namun pengetatan polisi kewangan berlaku serentak dengan peningkatan bajet perbelanjaan. Lebih-lebih lagi, berkemungkinan besar pihak kerajaan tidak memiliki dana sendiri yang mencukupi untuk membayar sebahagian daripada pampasan bil elektrik yang diumumkan kepada perniagaan dan juga isi rumah. Justeru, mereka perlu membuat pinjaman yang besar, dan perkara ini juga tidak dapat memberi manfaat kepada mata wang negara berkenaan. (Kami sudah pun melaporkan bahawa penyelia sumber tenaga British iaitu Ofgem telah mengumumkan purata bil tahunan penggunaan tenaga elektrik isi rumah akan naik sebanyak 80% bermula Oktober ini, manakala jumlah isi rumah yang hidup di bawah paras kemiskinan boleh mencecah 12 juta orang pada bulan Januari nanti).

    Pasangan ini mengakhiri minggu lalu pada paras 1.0867. Namun julat antara 1.0800-1.0838 mungkin tidak akan menjadi sokongan yang cukup kuat. Setelah ia ditembusi, bear akan terus meluru menuju ke paras terendah dalam sejarah sejak tahun 1985 iaitu 1.0520, di mana kira-kira 300 mata saja yang tinggal di kedudukan itu. Melihat kepada kadar kelajuan penurunan pasangan ini, sasaran ini boleh dicapai dalam masa satu atau dua minggu lagi. Sudah pasti, pembetulan akibat jualan pound secara berlebihan juga tidak dikecualikan. Jika pasangan ini bergerak ke atas, ia akan bertemu rintangan di zon dan paras 1.1000-1.1020, 1.1100, 1.1215, 1.1350, 1.1475, 1.1535, 1.1600, 1.1650, 1.1710-1.1740. Kembalinya pasangan ini ke paras di antara 1.1800-1.2000 dilihat tidak mungkin akan berlaku pada beberapa minggu akan datang.

    Jangkaan penganalisis untuk minggu hadapan dilihat agak unik: kesemua 100% memihak kepada mata wang British. Untuk indikator pada D1, kesemua 100% benar-benar menunjukkan arah yang bertentangan. Walau bagaimanapun, 50% daripada pengayun berada di zon lebihan jualan yang membimbangkan, hal ini mengesahkan jangkaan penganalisis mengenai pembetulan ke atas.

    Hari Jumaat, 30 September boleh ditanda pada kalendar kerana kadar KDNK (Q2) di UK akan dikeluarkan pada hari itu.

USD/JPY: Keajaiban oleh Menteri Kewangan dan Bank of Japan

  • Seperti yang dijangka, Bank of Japan (BoJ) mengekalkan pendirian mereka semasa bermesyuarat pada 22 September lalu dan membiarkan kadar faedah mereka berada pada paras negatif, paras yang sangat longgar iaitu -0.1%. Walau bagaimanapun, kami masih perlu mengakui kesilapan sendiri. Kami menyatakan pada minggu lalu bahawa pihak berkuasa kewangan Jepun tidak harus menjangkakan sebarang keajaiban. Namun keajaiban benar-benar berlaku. Semasa USD/JPY merangkak naik ke paras 146.00, sikap berani yang dilihat ada pada pihak Kementerian Perbendaharaan tersentak dan mereka mengarahkan BOJ untuk campur tangan bagi memberi sokongan kepada.

    Akibatnya, kedudukan pasangan ini jatuh sebanyak 550 pip, menunjukkan keadaan paling meruap sejak bermulanya pandemik COVID-19 pada bulan Mac 2020. Kemudian kejutan berakhir, situasi kembali reda sedikit, dan pasangan ini kembali ke kedudukan pada permulaan minggu bekerja, berakhir pada paras 143.30.

    Penyusutan ini mengesahkan pendapat sebilangan penganalisis bahawa pengukuhan nilai yen mungkin bukan untuk jangka masa panjang dan pasangan USD/JPY akan kembali melonjak ke paras 146.00 sekali lagi. “Melihat kepada ketiadaan perubahan penting dalam fundamental atau tindakan bersepadu (tidak mungkin berlaku) dalam menentang dolar AS, peluang untuk yen Jepun mengalami lantunan secara berterusan adalah terhad,” pakar strategi makro Scotiabank berkata. “Isu utamanya di sini sudah pasti adalah sifat polisi kewangan antara AS dan Jepun yang berbeza dan telah menyebabkan nilai yen Jepun jatuh menjunam sejak pihak Rizab Persekutuan mula menaikkan kadar pulangan pembiayaan buat kali pertama pada musim bunga lalu.”

    Scotiabank percaya bahawa pasaran mungkin akan menguji semula paras 146.00 untuk menguji keazaman Bank of Japan. Pihak Bank Persekutuan Jepun perlu membelanjakan berbilion dolar Amerika untuk melindungi paras ini. Lebih-lebih lagi, mereka mungkin perlu bertanyakan kepada pihak ECB, Bank of England dan juga Rizab Persekutuan AS untuk bertindak sebagai ejen mereka di luar waktu perniagaan di Tokyo. Walau bagaimanapun, berkemungkinan Bank of Japan akan cuba sendiri untuk menentang nilai dolar yang kukuh.

    Unjuran median para penganalisis untuk masa terdekat adalah seperti berikut. 45% penganalisis berpihak kepada bull, 45% berpendirian sebaliknya, baki 10% lagi kekal neutral. 40% pengayun pada D1 adalah berwarna hijau, 10% lagi berwarna merah, dan baki 50% pula berwarna kelabu neutral. Dalam kalangan indikator trend, nisbah yang menyebelahi warna hijau adalah 9 kepada 1.

    Rintangan paling hampir untuk pasangan ini adalah sama seperti dua minggu sebelumnya, 143.75. Sasaran No.1 dan No.2 bull adalah untuk berada di atas paras 145.00 dan kemudian meluru ke ketinggian 146.00. Ia diikuti dengan 146.75, paras yang dicapai sebelum Jepun dan AS bertindak bersama-sama untuk menyokong yen pada tahun 1998. Sokongan bagi pasangan ini berada pada paras dan zon 143.00, 142.60, 142.00-142.20, 140.60, 140.00, 138.35-139.05, 137.50, 135.60-136.00, 134.40, 132.80, 131.70.

    Tiada sebarang statistik mengenai keadaan ekonomi Jepun yang penting dijangka akan dikeluarkan pada minggu hadapan. Namun, terdapat dua perkara yang menarik perhatian akibat keputusan untuk campur tangan. Satu sidang media oleh Pengerusi BOJ iaitu Haruhiko Kuroda dijadual akan diadakan pada hari Isnin, 26 September, serta laporan mesyuarat Jawatankuasa Polisi Kewangan Bank of Japan sebelum ini yang akan dikeluarkan pada hari Rabu, 28 September. Untuk kedua-dua perkara ini, pasaran akan cuba untuk memahami betapa seriusnya pihak penggubal dasar itu dalam memberi sokongan kepada mata wang negara mereka.

MATA WANG KRIPTO: Sentimen Bearish yang Berterusan

  • Benarkah bitcoin itu emas digital sebenarnya? Mengikut satu kaji selidik yang dijalankan oleh Paxos terhadap pembeli emas fizikal, hampir satu pertiga daripada responden menganggap BTC sebagai alternatif terbaik untuk logam berharga itu. Walau bagaimanapun, setelah menilai pergerakan kedua-dua aset tersebut baru-baru ini, alternatif terbaik untuk kedua-duanya adalah dolar AS. Emas fizikal mencapai nilai tertingginya iaitu $2,070 pada 8 Mac, 2022, dan mengalami penyusutan selepas itu, rugi kira-kira 20% daripada nilainya setakat ini. Bagi emas digital pula, paras tertinggi dalam sejarahnya adalah $67,273 yang dicapai pada 10 November, 2021, dan kini telah susut hampir sebanyak 71%. Jika dibandingkan kedua-dua nilai tersebut, penyusutan untuk XAU/USD dilihat sebanyak 0.10% setiap hari, manakala BTC/USD pula adalah dua kali ganda lebih cepat, sebanyak 0.22% setiap hari. Buat kesimpulan anda sendiri. Kami hanya maklum bahawa bukan bitcoin atau emas yang harus dipersalahkan untuk penyusutan yang dialami, tetapi disebabkan oleh nilai dolar yang semakin kukuh, meningkat bersama-sama dengan kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan AS. Jadi, satu lagi kenaikan kadar faedah telah mengakibatkan penurunan sebut harga mata wang kripto pada minggu lalu. Namun emas pula adalah sebaliknya, walaupun terdapat beberapa lonjakan, nilainya kembali ke kedudukan asal untuk kali ini. Lagipun, tidak seperti BTC, emas adalah aset pelindung, bukan aset risiko. Namun begitu, nilainya tetap menyusut sedikit demi sedikit akibat tekanan yang diberik mata wang Amerika.

    Apabila bercerita tentang logam berharga, sebilangan orang menyamakan emas dengan julukan menghina. Hal ini berlaku walaupun harganya juga menyusut. Namun anda boleh gunakan sebanyak mana julukan itu untuk hal yang berkaitan dengan mata wang kripto. Sebagai contoh, ahli falsafah dan juga pengarang “The Black Swan” yang menjadi ikutan iaitu Nassim Taleb telah menggelar bitcoin sebagai suatu “barah” yang wujud akibat kesilapan pihak Rizab Persekutuan dalam menggubal polisinya. “Saya percaya keadaan huru-hara […] sepanjang 15 tahun secara dasarnya telah menghancurkan struktur ekonomi. Pihak Rizab Persekutuan telah gagal kerana mengurangkan terlalu banyak kadar faedah. Kadar faedah sifar untuk jangka masa yang lama telah merosakkan ekonomi, menghasilkan gelembung-gelembung, terciptanya barah seperti bitcoin,” jelas beliau, mendesak untuk kembali kepada “kehidupan ekonomi normal.”

    Pelabur dan juga penganalisis bitcoin terkenal iaitu Willy Woo bersetuju dengan hakikat bahawa sekarang ini “kuda” dipacu oleh kerajaan AS. Memang benar, di sebalik perkara itu, beliau ingin melihat “barah” ini menjadi lebih besar, namun kadar pertumbuhannya terhalang oleh sebab-sebab politik. Seperti yang beliau maklum, jualan BTC tanpa had secara teorinya boleh dijalankan sekarang ini kerana adanya kontrak niaga hadapan, namun begitu realitinya jualan tersebut hanya terhad kepada 21 juta coin saja. “Pasaran niaga hadapan mampu mengawal kadar BTC,” kata pelabur itu. Bursa CME (Chicago Mercantile Exchange) telah menyediakan sebuah platform seperti kasino bitcoin untuk anda melabur menggunakan dolar AS. Dana lindung nilai di Wall Street menggemarinya. Apakah sekatan yang dikenakan untuk jualan bitcoin sekarang? Tiada, kerana tiada sekatan dikenakan untuk wang fiat.”

    Willy Woo percaya bahawa disebabkan oleh struktur pasaran niaga hadapan, pelabur-pelabur utama boleh menyekat harga BTC dengan memberikannya tekanan dalam bentuk penjualan aset: “Bitcoin tidak seharusnya dihapuskan. Dengan hanya mewujudkan kebolehan untuk membuat jualan short ke atas BTC sudah cukup bagi menyekat kadar tukarannya. Bitcoin tidak mampu untuk memberikan kesan di peringkat global tanpa harga yang tinggi. Polisi SEC yang ada sekarang disasarkan kepada peningkatan kadar likuiditi serta penguasaan kontrak niaga hadapan dengan meluluskan ETF niaga hadapan, manakala ETF semerta pula tidak diluluskan. Semuanya telah bertukar kepada permainan politik sekarang,” jelas pelabur itu dengan nada sedih.

    Penganalisis dan pengasas syarikat DataDash iaitu Nicholas Merten menjangkakan pihak Bank Persekutuan AS akan terus menaikkan kadar faedah mereka sehinggalah mencapai kejayaan yang kukuh dalam memerangi kadar inflasi. Perkara ini akhirnya akan menurunkan sebut harga aset digital ke paras yang lebih rendah. Menurut Merten, hal ini bukan saja dipengaruhi oleh makroekonomi, malah juga disebabkan oleh faktor-faktor teknikal.

    Maka, purata pergerakan 200 minggu (WMA) BTC telah menjadi paras rintangan, bukan lagi sebagai paras sokongan. Bitcoin hampir sering kali kekal berada di atas indikator ini sepanjang kewujudannya dengan jarang sekali tembus ke arah bawah, menandakan paras terendah kitaran tersebut. Buat masa ini, kadar WMA 200 minggu berada di sekitar $23,250, dan bitcoin gagal untuk naik daripada paras tersebut.

    Merten memutuskan bahawa pergerakan kadar tukaran BTC baru-baru ini mungkin memberi isyarat berakhirnya pasaran bull selama 10 tahun, dan ia tidak lagi akan menjadi aset terkemuka berbanding lain-lain komoditi dan juga saham. Menurut penganalisis itu, paras paling rendah BTC yang seterusnya mungkin berada di sekitar $14,000, ia bermakna pembetulan sebanyak 80% daripada paras tertinggi dalam sejarahnya, seperti yang berlaku dalam pasaran bear sebelum ini. “Buat masa ini $14,000 berpotensi menjadi paras paling rendah. Walau bagaimanapun, para pelabur seharusnya mempertimbangkan penurunan yang lebih mendadak ke paras $10,000.”

    Seorang penganalisis yang menggunakan nama gelaran DonAlt bersetuju dengan Merten, beliau percaya bahawa BTC akan memperbaharui paras terendah 2022 di tengah-tengah prestasi pasaran saham yang lemah. DonAlt menjangkakan nilai coin itu akan berada di bawah julat antara $18,000-20,000 dan membentuk kitaran rendah yang baru. “Setelah julat seperti itu berjaya ditembusi, peningkatan sering kali berlaku. Sekarang adalah peluang terbaik untuk menembusi julat antara $18,000-20,000 dan kemudian membentuk momentum bullish. Satu persoalan yang timbul adalah berapa rendah nilai bitcoin akan berada kerana nilainya itu boleh turun ke paras $15,000 dengan mudah.“ “Jangkaan saya adalah berdasarkan kepada indeks S&P500 dan ia kelihatan agak teruk,” jelas DonAlt. “Kadar indeks ini dilihat akan jatuh menjunam.”

    Kami berikan banyak perhatian kepada pesaing utama bitcoin iaitu ethereum dalam ulasan sebelum ini. Ia disebabkan oleh peristiwa penting: kemas kini The Merge di peringkat global telah dilaksanakan ke dalam rangkaian ETH pada 15 September, termasuklah peralihan altcoin itu daripada protokol Proof-of-Work kepada protokol Proof-of-Stake (PoS). Nilai ethereum susut kira-kira 20% sejak daripada itu. Kami telah berulang kali memberikan amaran tentang kemungkinan ini dengan memetik pendapat ramai penganalisis.

    Secara kasarnya harga coin itu telah naik dua kali ganda daripada paras paling rendah tahun ini yang dicapai pada bulan Jun lalu, mendahului kadar pertumbuhan nilai bitcoin setakat ini, sambil menunggu taraf naik rangkaiannya. Naib presiden bursa kripto Luno iaitu Vijay Ayyar pula percaya bahawa pelaksanaan The Merger sudah pun “difaktorkan sekali ke dalam harga” ETH, dan “kejadian sebenar telah pun menjadi situasi “berita jualan”. Menurut Ayyar, para pelabur kini memindahkan semula pelaburan mereka daripada ethereum dan lain-lain altcoin kepada bitcoin, dan Ayyar mengatakan, “ini kerana keadaan bitcoin dijangka akan bertambah baik dalam masa beberapa bulan akan datang.” Dalam masa yang sama, penganalisis itu percaya bahawa sebarang “perubahan dalam situasi makroekonomi dari segi inflasi ataupun kenaikan kadar faedah tidak dijangka” mampu menyebabkan nilai BTC turun di bawah paras $18,000, dan coin itu akan menguji paras sehingga nilai $14,000.

    Walau bagaimanapun, bukan saja faktor kenaikan kadar faedah dan juga inflasi yang mungkin memberi kesan terhadap sebut harga aset-aset digital. Kini para pelabur tertanya-tanya adakah status kawal selia ethereum akan berubah setelah menjalani proses The Merge. Punca kepada kebimbangan ini datang daripada kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa AS iaitu Gary Gensler. Pegawai itu mengatakan pada minggu lalu bahawa mata wang kripto yang beroperasi menggunakan model Proof-of-Stake seperti ETH boleh dikategorikan sebagai satu jenis sekuriti. Maka, aset-aset ini tertakluk di bawah penyeliaan kecekapan pihak berkuasa undang-undang itu. Gensler tidak menyebut nama ethereum secara khusus, tetapi jelaslah bahawa dalam hal ini pihak SEC akan memberi tumpuan lebih teliti terhadap coin tersebut, dan tidak diketahui lagi bagaimana ia mungkin akan berakhir. Sebagai contoh, Nicholas Merten dari DataDash menjangkakan aset ini akan menguji semula paras antara $800-$1,000, namun beliau juga tidak menolak penurunan ke paras lebih rendah.

    Semasa ulasan ini dibuat (petang Jumaat, 23 September), bitcoin dan ethereum telah mendapatkan semula sebahagian daripada kerugian yang dialami akibat keputusan pihak Rizab Persekutuan itu. Pasangan BTC/USD didagangkan pada kadar $18,900 (ETH/USD pula $1,320). Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto adalah sebanyak $0.929 trilion ($0.959 trilion minggu lalu). Seperti tujuh hari sebelumnya, bacaan kadar Indeks Fear & Greed Kripto adalah 20 mata dan masih berada di zon Extreme Fear.

 

Bahagian Analisis NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.

Kembali Kembali
Laman web ini menggunakan kuki. Ketahui lebih lanjut tentang Dasar Kuki kami.