Ramalan Forex dan Matawang Kripto bagi 05 - 09 April, 2021

Terlebih dahulu, ulasan bagi minggu lepas:

  • EUR/USD. Ekonomi di A.S. terus pulih dengan pesat. Buktinya adalah data yang mengagumkan daripada pasaran buruh. Bilangan pekerjaan baru yang terhasil bukan dalam sektor agrikultur (NFP) hampir berjumlah dua kali ganda berbanding pada tempoh sama sebelumnya (naik daripada 468K kepada 916K) dan ia melebihi hampir satu pertiga (647K) daripada jumlah yang diramalkan. Kadar PMI Pembuatan ISM meningkat daripada 60.8 kepada 64.7. Menurut laporan ADP, kadar pekerjaan dalam sektor swasta telah meningkat daripada 176K kepada 517K. Semua ini bermaksud rangsangan fiskal ekonomi serta suntikan wang ke dalam pasaran membuahkan hasil. Namun adakah ia sesuatu yang baik untuk dolar?
    Sudah pasti, rancangan ini juga termasuk dengan hasil bon jangka panjang kerajaan AS, serta prospek polisi kewangan untuk beberapa tahun akan datang. Para pelabur agak sensitif dengan kenyataan oleh Pengerusi Rizab Persekutuan iaitu Jerome Powell berkenaan program pelonggaran kuatitatif (QE) yang mungkin akan dihentikan serta kenaikan kadar faedah.
    Satu pendapat mengatakan, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak pengurusannya, Sistem Rizab Persekutuan tidak berniat untuk menaikkan kadar faedah mereka sekurang-kurangnya sehingga 2023. Pihak Rizab juga tidak akan mengubah mana-mana parameter dalam program pelonggaran kuantitatif (QE), percaya dengan suntikan bernilai $1.9 trilion ke dalam ekonomi mereka sudah mencukupi. Namun satu lagi pendapat mengatakan, Presiden AS iaitu Joe Biden telah membentangkan rancangan perbelanjaan infrastruktur besar-besaran dengan jumlah sebanyak $2.25 trilion pada hari Rabu, 31 Mac bersama-sama dengan skim pembiayaan menerusi peningkatan kadar cukai. Jika benar pengumpulan dana itu bukan daripada cetakan wang murah, tetapi diperoleh daripada pertambahan beban cukai, ini bermakna nilai program QE akan dikurangkan, dan ia memerlukan aliran modal daripada pasaran saham ke pasaran bon kerajaan.
    Walaupun semua ini masih dalam perancangan, pasaran menunggu dengan penuh harapan, dan pasangan EUR/USD bergerak mengikut trend mendatar. Seperti yang diramal oleh majoriti penganalisis (70%), nilai dolar terus mengalami pengukuhan pada awal minggu, dan pasangan ini hampir mencecah paras 1.1700. Namun kemudian, disebabkan oleh rancangan baru Biden, pasangan ini mengubah arah pergerakannya ke atas. Walau bagaimanapun, lantunan ini tidak boleh dianggap sebagai perubahan trend. Pasangan itu kemudian kembali ke paras ia berada antara 25-30 Mac. Ia mengakhiri minggu dagangan di zon yang sama, pada paras 1.1760;
  • GBP/USD. Secara umum, carta pasangan ini agak sama dengan carta pasangan EUR/USD, dengan hanya satu perbezaan fundamental. Jika nilai euro terus berundur berbanding dolar, pound British cuba untuk mengekalkan pertahanannya, walaupun agak sukar. Kali ini, kadar pertumbuhan KDNK di UK bagi suku keempat 2020 sebanyak 1.3%, serta indeks aktiviti perniagaan ke atas yang disemak semula telah menjadi penyelamat.
    Kami mengingatkan, semasa membuat ramalan untuk minggu lalu, 40% penganalisis bersetuju dengan pengukuhan nilai dolar, 10% berpihak dengan pengukuhan pound dan 50% lagi memilih trend mendatar. Umumnya, semua ramalan adalah tepat. Pasangan ini turun ke paras 1.3705, dan naik ke paras 1.3850, dan akhirnya menamatkan minggu dengan 40 mata lebih tinggi berbanding paras permulaan. Setelah memulakan lima hari dagangan pada paras 1.3790, kedudukan terakhirnya adalah 1.3830;
  • USD/JPY. Kebanyakan penganalisis (60%) telah mengunjurkan penyatuan pasangan ini di atas paras 110.00. 100% indikator trend serta 75% pengayun bersetuju dengan senario tersebut. Ternyata tepat ramalan itu. Pasangan ini tanpa henti bergerak ke atas sejak 6 Januari dan memperbaharui paras tertinggi tahunannya setelah mencapai 110.95 pada hari Rabu, 31 Mac. Pembetulan ke bawah yang ditunggu-tunggu tidak juga berlaku, dan pasangan ini mengakhiri sesi dagangan pada paras 110.65;
  • Matawang Kripto. Nilai bitcoin sekali lagi melonjak ke ambang $60,000. Semasa ulasan ini ditulis, nilai maksimumnya telahpun mencecah $60,170. Walau bagaimanapun, sebaik saja penanda aras matawang kripto ini menghampiri nilai tersebut, satu lagi gelombang jualan berlaku, dan telah menyebabkan nilainya jatuh. Namun, penyusutan yang berlaku tidak begitu teruk. Hal ini menunjukkan semakin kurang pemilik yang ingin menjual bitcoin mereka sekarang. Para pelabur menunggu untuk nilainya melonjak. Pembetulan kecil ini telah memberi mereka peluang untuk menambah simpanan token dengan nilai yang lebih rendah.
    Sebahagian besar daripada bitcoin telah dialihkan ke dalam walet simpanan, hal ini menunjukkan “jerung” berinstitusi bersedia untuk pertumbuhan nilai BTC yang lebih pesat dan menjadikannya sebagai aset pelaburan jangka panjang. Berita-berita yang disiarkan juga turut menyumbang kepada perkara ini. “Kita telah lihat syarikat Square, Tesla, MicroStrategy dan lain-lain melabur dalam bitcoin,” jelas CEO ARK Invest iaitu Catherine Wood. - Kini matawang kripto menjadi penentu kepada sebahagian daripada perniagaan syarikat-syarikat ini. Pengumuman berkenaan pembelian produk Tesla dengan BTC akan membolehkan anda berurus niaga di mana-mana rantau tanpa perlu membuang masa dan wang untuk menukar matawang fiat.” Sistem bayaran utama, PayPal juga telah menyertai perlumbaan kripto ini. Mereka mahu menyediakan peluang kepada pelanggannya untuk membuat bayaran menggunakan bitcoin di semua rangkaian yang menjadi rakan kongsi syarikat itu, dan terdapat kira-kira 29 juta rangkaian tersebut di seluruh dunia. Menurut Reuters, selain daripada matawang kripto utama, PayPal juga bercadang untuk memperkenalkan sokongan terhadap kaedah pembayaran menggunakan Bitcoin Cash, Ethereum dan Litecoin.
    Bolehlah kita bercakap mengenai penerimaan matawang kripto secara beransur-ansur dalam pelbagai sektor ekonomi sekarang. Walau bagaimanapun, pelabur-pelabur besar masih lagi bimbang dengan sikap penggubal dasar terhadap aset-aset jenis ini. Yang pertama dan paling utama, pihak berkuasa di AS. Menurut sebilangan penganalisis, walaupun bitcoin dan altcoin terkenal bertindak sebagai penyimpan nilai dan juga spekulasi pada mulanya, penggubal dasar Amerika langsung tidak mengendahkannya. Namun sebaik saja bitcoin mula bersaing dengan dolar sebagai satu kaedah bayaran serta tukaran antarabangsa, sikap pihak berkuasa berubah dengan tiba-tiba. Inisiatif yang diambil oleh PayPal dan lain-lain sistem bayaran sama sekali tidak akan terkecuali daripada menerima reaksi negatif daripada mereka. Contohnya sistem Libra oleh Facebook, belengu yang dialaminya masih lagi belum berakhir.
    Dalam masa yang sama, seperti yang telah dinyatakan, matawang kripto utama ini cuba untuk berada di atas paras $60,000, dan modal pasaran pula cuba untuk melepasi jumlah keseluruhan psikologi paling penting iaitu $2.0 trilion. Jumlahnya mencecah 1.993 bilion pada hari pertama bulan April, namun turun ke paras $1.936 pada hari Jumaat. Patut diberi perhatian bahawa dominasi bitcoin di pasaran sedikit menurun sepanjang 7 hari lalu: daripada 59.56% kepada 57.88%. Tambahan pula, bahagiannya dalam pasaran kripto turun kepada 55.50% pada 1 April. Puncanya adalah penutupan posisi long semasa pasangan BTC/USD mencecah ufuk $60,000.
    Bacaan Indeks Fear & Greed Kripto mula naik semula. Bacaannya naik sebanyak 20 mata sepanjang minggu lalu, daripada 54 kepada 74, dan menghampiri zon lebihan belian yang agak kukuh.

 

Untuk minggu hadapan pula, setelah merumuskan pendapat beberapa penganalisis dan juga ramalan yang telah dibuat menerusi pelbagai kaedah teknikal serta analisis grafik, ramalan kami adalah seperti berikut:

  • EUR/USD. Eropah sedang bersedia untuk gelombang coronavirus yang baru. Walaupun jumlahnya bertambah, kadar vaksinasinya agak perlahan. Hanya 16.5% daripada populasi di EU telah menerima sekurang-kurangnya satu suntikan setakat ini, berbanding 45.6% di AS. Situasi ini mungkin akan bertambah  teruk dengan sekatan pergerakan yang baru. Ditambah dengan ketiadaan rancangan rangsangan ekonomi di EU seperti yang ada di Amerika, semuanya mungkin dapat memberi bantuan tambahan kepada dolar dan memberi tekanan kepada euro.
    Penganalisis di Daiwa Securities iaitu sebuah bank Jepun sedar bahawa kini dolar bukan saja dibeli oleh para spekulator tetapi juga oleh pengurus aset. Pada pendapat mereka, indeks DXY USD akan bertumbuh apabila ekonomi di Amerika bertambah baik dan hasil bon Perbendaharaan bertambah. Senario ini juga mendapat sokongan penganalisis dari Nordea Markets, mereka berpendapat nilai pasangan EUR/USD dijangka akan turun ke paras 1.1500.
    Sebaliknya, langkah rangsangan berlebihan di AS mungkin akan menyebabkan ekonomi AS menjadi terlalu panas. Selain itu, menurut anggaran WTO, lebihan matawang dolar di negara itu akan mengakibatkan pertambahan kadar import sebanyak 11.4%. Kebanyakan permintaan ini akan dipenuhi oleh eksport dari Asia dan juga Eropah. Jika negara-negara di Eurozone meningkatkan kadar vaksinasi mereka secara mendadak, kelebihan akan berpihak kepada matawang Eropah.
    Jelas bahawa analisis grafik, 75% pengayun serta 95% indikator trend pada D1 masih lagi berwarna merah buat masa ini. Walau bagaimanapun, baki 25% lagi pengayun sudah pun memberi isyarat pasangan ini memiliki lebihan jualan. Gambarannya benar-benar berbeza pada H4: kira-kira separuh daripada indikator telah berubah warnanya kepada hijau.
    Bagi pendapat penganalisis pula, pertumbuhan pasangan ini pada minggu depan telah dijangka oleh 55% daripada mereka, namun apabila beralih kepada ramalan bulanan, bilangan mereka bertambah kepada 65%. Sasaran bear adalah pada paras 1.1700 dan juga paras terendah bulan November 2020 iaitu 1.1600. Sasaran bull pula adalah 1.1885 dan 1.2000.
    Bagi peristiwa yang bakal berlaku pada minggu depan, kami boleh sebutkan tentang data indeks aktiviti perniagaan ISM dalam sektor perkhidmatan yang akan dikeluarkan pada hari Isnin, 5 April, minit mesyuarat FOMS Rizab Persekutuan AS yang akan dikeluarkan pada hari Rabu, 7 April serta ucapan ketua organisasi berkenaan, Jerome Powell, pada hari Khamis, 8 April;
  • GBP/USD. Nilai matawang British mungkin akan terus mengalami pertumbuhan, seperti yang berlaku pada dua bulan pertama tahun 2021. Terutama sekali jika terdapat modal utama yang mengalir masuk setelah ia keluar dari negara itu akibat Brexit. Pound juga disokong oleh kejayaan program vaksinasi peringkat awal menentang COVID-19. Walau bagaimanapun, semua itu mungkin tidak cukup kerana masalah yang timbul akibat perpisahan UK daripada EU, kadar defisit dagangan yang memberangsangkan serta kadar defisit belanjawan negara.
    Namun, majoriti penganalisis (65%) bersikap agak optimis dengan masa depan matawang British itu buat masa ini. 15% lagi menjangkakan penyusutan, manakala baki 20% menegaskan ia akan mengikuti trend mendatar.
    Paras 1.3850 boleh dianggap sebagai zon sokongan/rintangan sejak lapan minggu lalu. Analisis grafik menunjukkan pergerakan lateral di sepanjang paras tersebut. Pada H4, julat sempadan dagangan berada di antara 1.3755-1.3850. Pada D1, ianya lebih lebar, antara 1.3670–1.4000.
    85% pengayun dan juga 70% indikator trend pada D1 menunjukkan pertumbuhan. Namun bagi pengayun, 60% adalah berwarna kelabu neutral, merah dan hijau masing-masing adalah 20%;
  • USD/JPY. Berulang kali telah kami nyatakan bahawa kadar pasangan ini amat dipengaruhi oleh hasil bon Perbendaharaan AS. Walau bagaimanapun, Bank of Japan masih belum dapat mencapai kata sepakat tentang cara untuk berhadapan dengan pertambahan hasil daripada sekuriti AS serta langkah yang perlu diambil terhadap sekuriti di negara sendiri. Jika hasil bon 10 tahun AS serta harga komoditi terus bertambah, dan penggubal dasar Jepun tidak bertindak balas terhadapnya, yen mungkin akan menerima kesan yang teruk. Ia sudahpun mengalami kerugian yang agak ketara, rugi lebih daripada 800 mata kepada dolar sejak  tiga bulan lalu.
    Buat masa sekarang 85% indikator trend pada H4 dan 100% pada D1 menunjukkan pertumbuhan. 60% pengayun pada H4 dan 65% pada D1 menunjukkan arah yang sama, baki semua itu menunjukkan pasangan ini memiliki lebihan belian.
    Satu perkara yang menarik dan tidak dijangka telah kelihatan semasa kaji selidik dijalankan terhadap penganalisis. Mengikut ramalan mingguan, 70% daripada mereka menyokong pembetulan ke bawah manakala 30% lagi - trend mendatar. Bilangan undi terhadap pertumbuhan pasangan ini adalah 0. Selain itu, apabila beralih kepada ramalan bulanan, bilangan penyokong bear bertambah kepada 90%. Ramalan grafik pada kedua-dua tempoh masa juga menyokong senario bearish. Sokongan berada pada paras 110.35, 109.85, 109.00 dan 108.50. Rintangan paling hampir berada pada paras 111.00, sasaran bull adalah pada paras 111.70 dan 112.20;
  • Matawang Kripto. Seperti yang telah sedia maklum, para “jerung” menyimpan sebahagian besar bitcoin yang mereka miliki dalam walet simpanan. Menurut Glassnode, bukan saja nilai volum aset kripto beku bertambah, malah juga bilangan pelabur jangka panjang yang berbuat demikian. Sebagai contoh, hartawan warga Norway iaitu Oystein Stray Spetalen mengubah pendapatnya berkenaan bitcoin dalam masa satu hari saja! Pada 18 Mac lalu, beliau mendesak pihak berkuasa EU dengan aktif untuk mengharamkan matawang kripto. Sehari selepas itu … beliau menyertai bursa kripto Norway iaitu Miraiex sebagai pelabur, dan menyatakan “jika sesuatu hakikat berubah, saya juga akan berubah.” Seorang lagi hartawan warga Norway iaitu Kjell Inge Rokke yang menubuhkan sebuah syarikat khas untuk melabur dalam bitcoin mungkin telah menjadi punca kepada perubahan itu. “Mana boleh dia dapat untung, dan saya tidak,” jelas Spetalen.
    Jadi, masihkah ada peluang untuk mendapatkan untung daripada bitcoin dalam masa terdekat ini? Mengikut kitaran semasa, harga matawang kripto telah naik hampir 500% sejak Oktober 2020 dan telah memperbaharui nilai  tertingginya di atas paras $60,000. Nilai bitcoin melonjak pada dua bulan pertama 2021 namun menghadapi halangan pada bulan Mac. Walau bagaimanapun, menurut sebilangan penganalisis, data terdahulu menunjukkan pertumbuhan nilai bitcoin mungkin akan bersambung pada bulan April setelah mengalami pengunduran pada bulan Mac. “Musim akan menjadi faktor penentu. - Danny Scott, ketua bursa CoinCorner berkata dalam temubualnya bersama Forbes. - Kebiasaannya bulan April akan menonjol kerana ia menandakan berakhirnya tempoh pencukaian di UK dan US. Jika kita lihat pada maklumat sebelum ini, bulan April mungkin akan berakhir dengan kenaikan."
    Data menunjukkan nilai bitcoin naik 51% secara purata pada bulan April dalam tempoh 10 tahun yang lalu. Jika senario ini berulang, nilainya mungkin akan mencecah $80,000 pada akhir bulan nanti. Hanya dua kali saja bulan April mengalami kadar negatif: pada 2014 (negatif 6%) dan tahun 2015 (negatif 4%). Namun kedua-duanya itu berlaku dalam kitaran bearish, justeru “sentimen semasa dalam industri” wajar diambil kira. “Kini kita secara umumnya sedang berhadapan dengan trend bullish, dan momentum yang wujud terbentuk secara konsisten setiap minggu,” kata Scott. Jika kita gunakan paras Fibonacci pada carta pasangan BTC/USD, sasaran berikutnya mungkin berada pada paras $73,000 dan juga $92,000.
    Wajar untuk kami memetik pendapat penganalisis matawang kripto popular iaitu Willy Woo yang berkata kita akan dapat lihat peringkat terakhir pertumbuhan mendadak matawang kripto pertama itu pada tahun ini. Namun ianya juga adalah yang terakhir bagi kitaran tiga tahun bull. Kadar bitcoin sekarang berada pada paras terendah mingguan dan sia-sia saja jika anda menjual simpanan BTC yang ada, fikir Woo. “Anda mesti seorang yang gila jika ingin menjualnya sekarang. Pada kadar paling rendah, bitcoin kini dibeli dalam jumlah yang besar,” jelas penganalisis itu, memetik statistik bursa matawang kripto Coinbase sebagai contoh. Agak mengejutkan walaupun wujudnya sikap optimis seperti itu daripada peminat tegar kripto persendirian, 70% daripada penganalisis tidak menjangkakan sebarang pertumbuhan, namun sebaliknya, penurunan pasangan BTC/USD ke paras $50,00 sepanjang bulan April.
    Bagi merumuskan ulasan ini, kami menghidangkan anda dengan “peranti ajaib” yang seterusnya dalam tajuk kecil kebiasaan kami iaitu “Petua Kripto”. Sekumpulan peminat tegar telah menyesuaikan konsol permainan mudah alih Game Boy kepada mesin melombong matawang kripto. Satu video mengenainya telah dikeluarkan di saluran YouTube. Hanya cip pemprosesan Sharp 4 MHz yang digunakan untuk melombong. Namun, ciptaan ini tidak mungkin menjadikan penciptanya seorang jutawan: ujian menunjukkan dengan kadar bitcoin yang ada sekarang iaitu $55,000, mereka memerlukan 50 ribu tahun untuk menghasilkan $1.


Kumpulan Analitik NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.

Kembali Kembali
Laman web ini menggunakan kuki. Ketahui lebih lanjut tentang Dasar Kuki kami.