Ramalan Forex dan Matawang Kripto bagi 22 - 26 Mac, 2021

Terlebih dahulu, ulasan bagi minggu lepas:

  • EUR/USD. Sudah semakin jelas bahawa pihak Rizab Persekutuan AS tidak berniat untuk menaikkan kadar faedah mereka sekurang-kurangnya sehingga 2023 berdasarkan hasil mesyuarat Open Market Committee (FOMC). Rizab Persekutuan juga tidak akan mengubah lain-lain parameter dalam program pelonggaran kuantitatif (QE) mereka, selagi kadar inflasi di Amerika Syarikat terus naik, sektor pembuatan akan kembali pulih, dan dalam masa yang sama turut memulihkan sektor perkhidmatan. Menurut pihak Rizab Persekutuan, rang undang-undang pakej bantuan baru bernilai $1.9 trilion yang ditandatangani Presiden AS Joe Biden adalah suatu langkah rangsangan ekonomi yang mencukupi buat masa ini.
    Kedudukan yang diambil oleh para penggubal dasar Amerika ini pada tahap yang sama memuaskan hati (atau mengecewakan) bull dan juga bear terhadap pasangan EUR/USD, dan akhirnya pasangan ini menghabiskan keseluruhan minggu dengan berada di saluran mendatar yang sempit dengan amplitud hanya sebanyak 110 mata, 1.1875-1.1985, dan mengakhiri sesi dagangan berada hampir pada paras 1.1900;
  • GBP/USD. Seperti yang dinyatakan di atas, Rizab Persekutuan AS enggan mengubah polisi kewangan mereka. Namun pihak pengurusan Bank of England dengan sebulat suara pada mesyuarat yang diadakan pada hari Khamis, 18 Mac lalu tidak ingin mengikuti jejak langkah yang sama. Menurut kenyataan yang dikeluarkan, pihak bank “tidak mahu mengetatkan polisi kewangan sekurang-kurangnya sehingga ada bukti kukuh wujudnya penggunaan potensi yang belum diterokai serta sasaran kadar inflasi sebanyak 2 peratus telah dicapai.” Justeru, tiada siapa pun yang harus menunggu kenaikan kadar faedah ke atas pound.
    Hasil daripada keputusan sama yang diambil oleh kedua-dua pihak penggubal dasar, pasangan GBP/USD terus bergerak secara mendatar. Jika diingat minggu lalu, satu pertiga daripada penganalisis memilih pertumbuhan pasangan ini, satu pertiga lagi - penurunan, manakala baki satu pertiga mengambil posisi neutral, menyatakan pasangan ini akan bergerak ke arah sisi, mengehadkan pertumbuhan dengan rintangan pada paras 1.4000, dan sokongan penurunan pada paras 1.3775. Ramalan itu ternyata hampir tepat. Turun naik pasangan ini terhad pada julat antara 1.3800-1.4000. Kedudukan terakhirnya berada pada paras 1.3865;
  • USD/JPY. Penggubal dasar di Jepun juga mengambil tindakan yang sama dengan pihak Rizab Persekutuan AS dan juga Bank of England. Bank of Japan membiarkan kadar faedah mereka pada peratusan yang sama, negatif 0.1%, pada hari Jumaat, 19 Mac. Dalam masa yang sama, mereka akan terus membeli semula bon jangka panjang untuk mengekalkan hasil sekuriti 10 tahun mereka hampir dengan sifar. Kenyataan yang dikeluarkan pihak bank berkenaan prospek polisi kewangan mereka juga agak samar-samar dan menyamai kenyataan yang dibuat rakan sejawat mereka di AS dan juga Great Britain: “Kami bersedia untuk mengubahnya bila-bila perlu”. Namun tidak dinyatakan apakah kriteria untuk “bila-bila perlu” itu.
    Hasil daripada minggu yang agak “lembab” ini adalah penyatuan pasangan USD/JPY ke julat yang lebih sempit daripada EUR/USD dan GBP/USD. Setelah berada di saluran antara 108.60-109.35 sepanjang lima hari, ia mengakhiri pergerakannya pada paras 108.87;
  • Matawang Kripto. Bitcoin sekali lagi mencatatkan rekod nilai tertingginya sepanjang minggu lalu, mencapai nilai $61,670. Ia diikuti dengan pengunduran tidak lama selepas itu. Namun, matawang utama tersebut berjaya mengekalkan kedudukannya pada saluran menaik setelah menerima sokongan di sempadan bawah saluran itu, di zon antara $53,300-53,900. Pembetulan ini telah menarik ramai pembeli yang menunggu peluang baru untuk membuat pembelian, dan pasangan BTC/USD telah didagangkan di sekitar $58,800 pada petang Jumaat, 19 Mac.
    Menurut ahli strategi JPMorgan iaitu Nikolaos Panigirtzoglou, salah satu sebab mengapa bitcoin gagal untuk menjejakkan kakinya di atas paras $60,000 adalah penyusutan nilai pelaburan oleh pelabur berinstitusi. Ringkasnya, volum pelaburan runcit dalam bitcoin pada suku pertama tahun 2021 telah melebihi pelaburan oleh pelabur berinstitusi, dan golongan ini telah mengurangkan volum pembelian matawang kripto mereka. Pelabur runcit membeli lebih daripada 187,000 token BTC, manakala jumlah pembelian pelabur berinstitusi adalah kira-kira 172,684 BTC.
    Mengikut pengiraan yang dibuat syarikat pelaburan Compound Capital Advisors, bitcoin telah menjadi pelaburan paling menguntungkan sepanjang 10 tahun lalu dan telah mengatasi semua kelas aset sekurang-kurangnya 10 kali ganda, memberi purata pulangan tahunan sebanyak 230%. Indeks Nasdaq 100 berada di tempat kedua dengan pulangan tahunan sebanyak 20%, diikuti oleh pasaran saham AS yang memiliki jumlah modal pasaran melebihi $10 bilion dengan pulangan tahunan sebanyak 14%. Selain itu, kaji selidik turut menunjukkan emas memberi pulangan yang agak kecil iaitu 1.5% setiap tahun sejak 2011, dan aset tersebut telah mengalami kerugian sebanyak lima kali sepanjang tempoh 11 tahun.
    Sejak tahun 2011, keuntungan yang diperoleh BTC adalah 20 juta peratus jika digabungkan kesemuanya. Tahun 2013 menjadi tahun paling berjaya buat bitcoin kerana nilainya mengalami pertumbuhan sebanyak 5507%. Selain itu, penting untuk anda ketahui bahawa BTC hanya mencatatkan kerugian tahunan sebanyak dua kali dalam sejarah: susut sebanyak 58% pada tahun 2014 dan 73% pada tahun 2018.
    Kesemua jumlah ini mampu mengejutkan sesetengah pihak, dan ia juga mampu menakutkan pihak yang lain. Sebagai contoh, ketua gergasi bayaran Visa bersetuju dengan idea matawang kripto mungkin akan diguna secara meluas dalam tempoh 5 tahun lagi. Selain daripada JPMorgan, bank terbesar di Amerika iaitu Morgan Stanley telah menunjukkan kesetiaan mereka terhadap aset digital, berjanji akan memberi peluang kepada pelanggan mereka untuk memiliki bitcoin sendiri.
    Namun Bank of America telah menyatakan token ini secara eksklusifnya adalah suatu aset spekulatif dalam laporan bertajuk “Little Dirty Secrets of Bitcoin” yang dikeluarkan pada 17 Mac lalu. “Jika nilainya  tidak bertumbuh, tiada sebab untuk memiliki matawang kripto ini,” jelas laporan itu. “Sama ada untuk memegang nilai mahupun sebagai kaedah pembayaran, aset tersebut langsung tidak praktikal, dan 95% daripada jumlah Bitcoin dimiliki oleh 2.4% pemilik walet.” Pegawai bank berkenaan juga mengingatkan tentang kesan negatif BTC terhadap alam sekitar yang berpunca oleh kos tenaga penghasilan serta kelajuan transaksi yang rendah. Namun begitu, sesiapa pun dapat meneka semua itu bukanlah perkara yang paling mereka bimbangkan, tetapi prospek kehilangan sebahagian besar pulangan yang disebabkan oleh pembangunan pasaran kripto.
    Sila maklum jumlah keseluruhan modal pasaran kripto telah meningkat pada minggu lalu daripada $1756 bilion kepada $1805 bilion. Walau bagaimanapun, jumlah itu gagal untuk menembusi paras psikologi penting pada $1 trilion: Jumlah maksimum sebanyak $1851 bilion telah dicatatkan pada 14 Mac, dan kemudian indikator itu turun sedikit. Bagi Indeks Fear & Greed Kripto pula, bacaannya tidak banyak berubah sepanjang minggu: kini pada 71 berbanding 70 seminggu lalu.

 

Untuk minggu hadapan pula, setelah merumuskan pendapat beberapa penganalisis dan juga ramalan yang telah dibuat menerusi pelbagai kaedah teknikal serta analisis grafik, ramalan kami adalah seperti berikut:

  • EUR/USD. Umumnya, para penganalisis dan juga indikator berada dalam mood bearish. Walaupun pihak Rizab Persekutuan AS enggan menaikkan kadar faedah mereka sehingga 2023, para pelabur masih berpandukan kepada keadaan ekonomi yang menggalakkan. Program vaksinasi secara meluas serta bayaran secara terus kepada rakyat AS mampu menyokong nilai dolar, walaupun sebahagian daripada jumlah $380 bilion itu akan dilabur ke dalam aset berisiko.
    Kebanyakan penganalisis (65%) menjangkakan pengukuhan nilai dolar pada minggu depan. Mereka berpendapat, pasangan EUR/USD akan cuba menguji paras sokongan pada 1.1835 sekali lagi. Ramalan bearish ini turut mendapat sokongan 65% pengayun serta 85% indikator trend pada tempoh masa H4 dan D1. Jika diingat, dari sudut pandangan analisis teknikal, sokongan di sini masih lagi berada pada paras SMA sepanjang 200 hari iaitu 1.1825. Jika ia berjaya ditembusi, sasaran berikutnya berada pada paras 1.1800 dan juga 1.1745. Sasaran terakhir adalah paras terendah yang didudukinya antara September-November 2020 iaitu di sekitar 1.1600.
    Bagi bull pula, rintangan berada pada paras 1.1980, 1.2025, 1.2060 dan 1.2100. Jika ramalan bullish sekarang hanya mendapat sokongan 35% penganalisis, jumlah bakinya adalah seperti pantulan cermin apabila beralih kepada ramalan bulan April: terdapat 65% penganalisis yang menyokong pertumbuhan kadar pasangan itu dan hanya 35% saja bersetuju dengan penurunannya.
    Analisis grafik juga menunjukkan penurunan pasangan ini. Namun, bukan penurunan serta-merta. Mengikut bacaannya, setelah selesai bergelut di zon antara 1.1880-1.1900, pasangan ini pada mulanya akan naik ke paras 1.1980, dan hanya selepas itu ia akan mengalami penurunan.
    Untuk peristiwa yang bakal berlaku pada minggu depan, sila maklum dengan ucapan-ucapan Jerome Powell pada 22, 23 dan 24 Mac nanti. Walau bagaimanapun, berkemungkinan tiada apa yang baru dijangka keluar daripada mulut ketua Rizab Persekutuan itu: semua perkara penting telah diumumkan pada minggu lalu. Oleh itu, nasihat kami adalah untuk menumpukan perhatian pada data aktiviti perniagaan Markit di Jerman dan juga Eurozone yang akan diketahui pada hari Rabu, 24 Mac. Bagi statistik di Amerika, data pesanan barangan tahan lama juga akan diketahui pada hari yang sama, manakala data tahunan KDNK di Amerika Syarikat akan dikeluarkan keesokan harinya.
  • GBP/USD. Ketua Bank of England iaitu Andrew Bailey juga dijadual akan berucap pada 23 dan 25 Mac ini. Sama seperti dalam kes rakan sejawat beliau, Jerome Powell di negara seberang, ucapannya nanti dijangka tidak akan memberi sebarang kejutan. Antara yang menarik: data pasaran buruh di UK yang akan diketahui pada 23 Mac, serta data aktiviti perniagaan dan pasaran pengguna di negara itu yang akan dikeluarkan pada 25 Mac.
    Indikator teknikal dengan jelas menunjukkan pasangan GBP/USD akan mengalami penurunan pada H4. Walau bagaimanapun, ia adalah bayangan trend dua hari terakhir yang dilaluinya pada minggu lalu. Bagi indikator pada D1 pula, keadaannya adalah bertentangan: trend mendatar sepanjang dua minggu makin jelas kelihatan. Analisis grafik pada kedua-dua tempoh masa juga menunjukkan trend mendatar pada julat dagangan seminggu yang lalu - 1.3775-1.4000. Ramalan penganalisis tidak memberikan sebarang kelebihan pada mana-mana trend: 45% berpihak kepada bull, 55% berpihak kepada bear. Sasaran mereka masing-masing adalah 1.4240 dan 1.3600;
  • USD/JPY. Pengukuhan berterusan nilai dolar serta pertumbuhan pasangan ini ditunjukkan oleh analisis grafik pada kedua-dua tempoh masa, H4 dan D1. 85% indikator trend dan juga 65% pengayun pada D1 bersetuju dengan perkembangan itu. Baki pengayun sama ada berada di zon lebihan belian atau sudah pun berwarna merah.
    Bagi penganalisis pula, 55% daripada mereka menjangkakan pembetulan ke bawah akan berlaku, walaupun mereka setuju ianya hanya bersifat sementara. Walau bagaimanapun, apabila beralih daripada ramalan bulanan kepada suku tahunan, bilangan penyokong penurunan pasangan ini bertambah kepada 75%.
    Sasaran bull yang paling hampir berada di antara paras 109.50-110.00. Sokongan berada pada paras 108.35, 106.65, 106.10 dan 105.70 jika pasangan ini mengalami penurunan;
  • Matawang Kripto. Pergelutan antara golongan yang percaya matawang kripto akan memiliki masa depan cerah dan golongan yang mahu melihat ia jatuh mendadak terus berlaku. Hal ini lebih ketara khususnya dikalangan pelabur-pelabur berinstitusi besar. Pendapat mereka sebahagian besarnya bergantung kepada pendapat para penggubal dasar.
    Pendapat para penggubal dasar adalah berbeza mengikut negara masing-masing. Contohnya, pihak berkuasa di India telah hampir menyiapkan rang undang-undang yang akan melarang operasi ke atas matawang kripto serta memperkenalkan liabiliti jenayah dan pentadbiran terhadap para penghasil dan juga pelaburnya. Sebaliknya, ketua Rizab Persekutuan AS iaitu Jerome Powell tidak menafikan aktiviti kewangan tradisional dengan matawang kripto. Namun, pastinya, beliau mungkin meletakkan harapan terhadap matawang digital American Central Bank (CDBC) apabila membuat kenyataan tersebut.
    Sila maklum dengan kerajaan kebanyakan negara-negara besar kini sedang mempertimbangkan untuk mengeluarkan matawang fiat berbentuk digital mereka sendiri. Berkemungkinan, mereka langsung tidak mahu sebarang bentuk persaingan daripada bitcoin serta altcoin utama yang lain. Justeru, kita mungkin akan melihat pergelutan sebenar antara sektor awam dan swasta tidak lama lagi, bukan saja di peringkat negara, malah juga di peringkat antarabangsa.
    Dalam masa yang sama, bank-bank pusat terus mencetak wang murah bagi menyokong ekonomi mereka dalam memerangi pandemik COVID-19. Mengikut pendapat penyampai TV yang juga pengasas syarikat pelaburan Heisenberg Capital iaitu Max Kaiser, hal ini akan menyebabkan matawang kebangsaan mengalami “keruntuhan hiperinflasi” serta pertumbuhan nilai bitcoin ke paras $220,000 pada tahun ini. Tambahan pula, Kaiser percaya bahawa kelebihan yang dimiliki bitcoin dalam sistem bayaran global akan menjadikan bank tidak berguna. Beliau menyatakan, “$5 trilion sehari dalam pasaran tukaran asing mungkin akan bertukar sepenuhnya kepada bitcoin.”
    Buat masa ini, menurut penganalisis di JPMorgan, fokus utama mereka adalah terhadap pertumbuhan pelaburan runcit yang berkait rapat dengan bahagian bayaran seterusnya kepada rakyat AS yang menjadi sebahagian daripada program rangsangan ekonomi. Menurut kaji selidik yang dibuat oleh Mizuho Securities, daripada jumlah sebanyak $380 bilion yang akan diterima rakyat AS dalam bentuk bantuan ekonomi, kira-kira 10% akan digunakan untuk pembelian dua jenis aset: bitcoin dan juga saham. Kajian itu juga mendapati dua daripada lima orang warga Amerika yang dijangka akan menerima bayaran tersebut tidak lama lagi mahu menggunakan sebahagian daripadanya untuk pelaburan. Menurut Dan Dolev, Pengarah Urusan Mizuho Securities, 60% daripada jumlah pelaburan itu dijangka dalam bentuk bitcoin, dan ia mampu menambah kira-kira 3% kepada jumlah keseluruhan modal pasaran matawang kripto.
    Benar, 3% adalah angka yang kecil. Disebabkan itulah hanya 35% penganalisis saja yang percaya bahawa matawang kripto itu mampu untuk terus naik melepasi paras $60,000 menjelang akhir musim luruh dan mungkin naik ke paras $75,000. Majoriti penganalisis (65%) menjangkakan pergerakan mendatar bitcoin pada saluran di antara $50,000-60,000.

 

Kumpulan Analitik NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.

Kembali Kembali
Laman web ini menggunakan kuki. Ketahui lebih lanjut tentang Dasar Kuki kami.