Terlebih dahulu, ulasan bagi minggu lepas:
- EUR/USD. Kenaikan mendadak hasil bon di AS dan Eropah bukan saja memberi kesan terhadap pasaran saham, malah juga “carry trade”, menyediakan bantuan kepada matawang pembiayaan, terutama sekali euro dan juga dolar AS. Jika diingat matawang pembiayaan kebiasaannya adalah matawang dengan kadar faedah yang rendah. Dengan menggunakan strategi carry trade, para pedagang membuat pinjaman dan kemudian meletakkannya sebagai deposit dalam matawang yang lain, seperti matawang negara-negara maju yang memiliki kadar lebih tinggi. Penurunan sentimen risiko yang berlaku sekarang telah menamatkan urusan perniagaan seperti itu, serta pengukuhan nilai EUR dan USD. Nampaknya, ia menjelaskan penyatuan yang berlaku kepada pasangan ini. Jika kelebihan berpihak kepada dolar pada awal minggu, para pelabur mula membeli euro dengan nilai yang lebih rendah pada hari Rabu, 17 Februari. Akhirnya, setelah memulakan dagangan pada paras 1.2120, pasangan EUR/USD menamatkan minggu juga hampir pada paras itu, di kedudukan 1.2115;
- GBP/USD. Nilai pound terus bergerak ke atas, menghampiri paras tertinggi yang dicatatkan pada tahun 2018. Pasangan ini menembusi paras psikologi utamanya iaitu 1.4000 pada hari Jumaat, 19 Februari, mencatatkan paras tertinggi mingguan pada 1.4035. Ia mengakhiri sesi dagangan pada paras sama iaitu 1.4000, setelah nilainya melantun sedikit.
Kedudukan matawang Amerika itu berada di belakang matawang British disebabkan oleh data pasaran buruh AS yang lemah. Para pelabur menjangkakan penurunan bilangan permohonan awal bagi faedah pengangguran daripada 848 ribu kepada 765 ribu, namun sebaliknya, bilangan tersebut naik kepada 861 ribu dalam masa seminggu. Bilangan permohonan sekunder juga tidak begitu memberangsangkan, jumlahnya menurun daripada 4.558 juta kepada 4.494 juta, bukan seperti yang diramalkan iaitu 4.413 juta. Pelabur dengan pantas teringat kenyataan para pegawai FRS yang mengatakan ia memerlukan masa lebih daripada setahun untuk pasaran buruh kembali ke keadaan sebelumnya, dan mereka perlu mengambil langkah baru bagi menyokong ekonomi di AS.
Namun data pasaran pengguna dan juga aktiviti perniagaan yang dikeluarkan di UK pada minggu lalu kelihatan lebih baik. Indeks Markit menunjukkan bacaan 49.7 berbanding 39.5 untuk bulan Februari, hanya sedikit rendah daripada 50 iaitu nilai ambang yang membezakan pertumbuhan aktiviti ekonomi daripada kelembapan. Semua jumlah-jumlah ini sekali lagi menambah keyakinan para pembeli matawang British bahawa Bank of England enggan menguntukkan dana baru ke dalam QE dan juga mengurangkan kadar faedahnya. Akibat daripada itu, pasangan GBP/USD terus bergerak ke atas, menduduki tanda aras penting yang seterusnya - 1.4000; - USD/JPY. Trend utama pasangan ini dan juga EUR/USD telah ditentukan pada minggu lalu oleh data pasaran buruh AS yang mengecewakan serta kenaikan mendadak hasil bon kerajaan. Data KDNK di Jepun telah dikeluarkan pada hari Isnin, 15 Februari, tetapi ia tidak memberi kesan kepada sentimen pasaran walaupun kadarnya lebih baik berbanding daripada ramalan (3.0% berbanding 2.3%), sekali lagi hal ini menunjukkan kadar bagi pasangan ini mendapat bentuknya di AS.
Jika diingat pendapat para penganalisis pada minggu lalu terbahagi sama rata: 40% menyokong pertumbuhan pasangan ini, 30% lagi penurunannya dan peratusan sama mengunjurkan pergerakan mendatar. Secara umumnya, tekaan mereka semuanya tepat. Pasangan ini mengalami pertumbuhan pada awal minggu, naik ke paras 106.20, kemudian turun, dan mengakhiri tempoh lima hari dagangan dengan berada hampir pada paras permulaan pada 8 Februari - 105.40; - Matawang Kripto. Seperti yang kami jangkakan, nilai bitcoin telah mencecah paras melebihi $50,000 dan berada di kedudukan $55,000 semasa ulasan ini dibuat. Bermula pada 1 Februari, nilai matawang kripto utama ini telah bertambah kira-kira 60%, kadar pertumbuhan Ethereum (ETH/USD) adalah rendah sedikit daripada 50%, dan pencapaian terbaik antara mereka adalah milik Litecoin (LTC/USD) dengan 80%.
Secara umumnya, situasi pasaran digital adalah agak positif. Malah pertubuhan konservatif seperti bank-bank di Amerika telah mengubah pandangan mereka. Bank tertua di AS, BNY Mellon telah mengumumkan permulaan bagi kerja-kerja yang berkaitan dengan bitcoin dan juga lain-lain aset digital. Satu lagi bank utama di AS, JPMorgan Chase juga telah menyatakan kesediaan mereka untuk menyokong dagangan bitcoin. Umum mengetahui bahawa pada Januari lalu, JPMorgan Chase telah menganjurkan pertemuan maya dengan ribuan pedagang dan juga profesional jualan dari pelbagai pelosok dunia, bagi bertanyakan pendapat mereka berkenaan minat dalam dagangan BTC. Pada minggu lalu, sebuah lagi bank, Goldman Sachs, telah mengadakan forum tertutup berkenaan topik matawang kripto untuk pekerja dan pelanggan mereka, dan speaker yang dijemput adalah Mike Novogratz, CEO Galaxy Digital.
Kenyataan oleh beberapa orang ahli politik serta pegawai kerajaan AS juga telah memberi impak positif pada nilai aset digital. Contohnya, Datuk Bandar Miami iaitu Francis Suarez telah membuat pengumuman bahawa beliau telahpun mengambil beberapa langkah untuk menghalalkan matawang kripto. “Kami telah menjadikan bitcoin sebagai matawang yang boleh digunakan para pelabur berpotensi. Selain itu, para pekerja boleh menerima gaji mereka dalam bentuk matawang kripto, ia adalah satu langkah besar untuk masa hadapan,” tulis beliau dalam ciapan Twitternya. Calon Datuk Bandar New York yang juga bekas calon Presiden AS iaitu Andrew Young menyokong rakan sekerjanya itu dengan menyatakan beliau akan cuba sedaya upaya untuk menjadikan pusat kewangan dunia yang ada di negeri itu kepada pusat matawang kripto. Manakala ketua Rizab Persekutuan St. Louis menggelar bitcoin sebagai pesaing kepada emas.
Pelabur berinstitusi terus membeli matawang kripto serta saham-saham syarikat penghasil dan juga dana kripto. Jadi, dana Grayscale Investment telah menambah 20,000 ETH ke dalam portfolio Ethereum mereka pada minggu lalu, menjadikan jumlahnya sebanyak $6 bilion. Satu lagi dorongan bagi pertumbuhan pasangan BTC/USD adalah keputusan yang diambil MicroStrategy untuk mendapatkan lagi dana sebanyak $900 juta bagi pembelian bitcoin.
Secara keseluruhan, nisbah bekalan / permintaan kekal memihak kepada bitcoin: 150,000 BTC telah dihasilkan dan hampir 360,000 telah dibeli semula sepanjang lima bulan terakhir tahun 2020, dan para pelabur berharap keseimbangan ini akan terus berlaku pada masa hadapan.
Dalam masa yang sama, para pembeli terus memerhatikan tindakan ketua syarikat Tesla iaitu Elon Musk yang menyebabkan nilai bitcoin naik mendadak hanya disebabkan oleh ciapan Twitter beliau. Walau bagaimanapun, Suruhanjaya Bursa dan Sekuriti AS (SEC) kini amat tertarik dengan “kreativiti” yang beliau tunjukkan di Twitter, dengan mempertimbangkan ciapan pembelian aset digital oleh hartawan itu adalah di bawah undang-undang tawaran dan juga pengiklanan sekuriti, kedua-duanya boleh dianggap sebagai aktiviti pembrokeran tidak berdaftar serta cubaan untuk memanipulasi pasaran. Jika didapati bersalah, Elon Musk mungkin akan berhadapan dengan denda yang besar. Selain itu, usahawan tersebut telah menyatakan bahawa beliau kini sedang bercuti dan tidak akan menyiarkan apa-apa ciapan, setidak-tidaknya dalam masa terdekat ini.
Bagi jumlah keseluruhan modal pasaran matawang kripto, walau tanpa sebarang kata-kata daripada Musk, nilainya bertambah sepanjang minggu daripada $1,458 bilion kepada $1,625 bilion. Manakala bacaan Indeks Fear & Greed Kripto pula perlahan-perlahan tetapi gagal disekat untuk menghampiri nilai maksimumnya iaitu 100 mata. Kini nilainya berada pada 93 mata, dan ia menunjukkan keadaan pasaran yang agak panas.
Untuk minggu hadapan pula, setelah merumuskan pendapat beberapa penganalisis dan juga ramalan yang telah dibuat menerusi pelbagai kaedah teknikal serta analisis grafik, ramalan kami adalah seperti berikut:
- EUR/USD. Pergerakan dalam Kesatuan Eropah masih lagi terhalang akibat pandemik COVID-19. Namun di Amerika Syarikat, semuanya tidak indah seperti yang dijangka. Data pasaran buruh yang lemah, pertambahan permohonan awal bagi faedah pengangguran telah memberi tekanan kepada nilai dolar.
Apa yang dapat difahami daripada kenyataan para eksekutif ECB adalah walaupun jika hasil bon di Eropah terus meningkat, bank itu berkemungkinan tidak akan menambah jumlah program pelonggaran kuantitatif (QE) mereka. Para pegawai Majlis Pentadbir ECB percaya bahawa langkah-langkah yang diambil sudah mencukupi, ia hanya menunggu sedikit masa lagi sebelum mereka dapat merasa kesan positifnya pada tahap maksimum.
Situasi yang berlaku di seberang Lautan Atlantik pula adalah benar-benar bertentangan. Menilai pada rayuan Janet Yellen iaitu Setiausaha Perbendaharaan kepada pihak Kongres AS dan juga minit mesyuarat Rizab Persekutuan yang dikeluarkan pada 18 Februari, jumlah QE mereka akan terus bertambah. Polisi kewangan yang agak longgar akan diteruskan sehinggalah ekonomi negara itu menunjukkan pertumbuhan yang stabil. Langkah seterusnya adalah menerima satu lagi pakej rangsangan bernilai $1.9 trilion.
Agak logik untuk menjangkakan penyusutan nilai dolar dalam jangka sederhana jika melihat pada situasi seperti itu, manakala pasangan EUR/USD pula dijangka akan naik ke zon di antara 1.2200-1.2300 pada mulanya, dan kemudian kembali ke paras tertinggi pada bulan Januari iaitu 1.2350. 65% daripada penganalisis bersetuju dengan senario tersebut. Namun gambarannya agak berbeza jika beralih kepada ramalan mingguan.
Majoriti (70%) daripada penganalisis percaya bahawa pasangan ini akan menguji semula untuk menembusi paras sokongan di zon 1.2020 dalam masa terdekat dan cuba untuk mencecah paras terendah yang dicapai pada 5 Februari iaitu 1.1955. Perkembangan bearish ini disokong oleh 15% pengayun pada H4 dan D1 yang memberi isyarat bahawa pasangan ini memiliki lebihan belian.
Baki pengayun, serta 75% lagi indikator trend adalah berwarna hijau. Namun analisis grafik pada kedua-dua tempoh masa menunjukkan penyatuan pada julat antara 1.2020-1.2155.
Bagi peristiwa yang bakal berlaku, kami menunggu ucapan ketua ECB iaitu Christine Lagarde pada hari Isnin, 22 Februari dan juga ucapan ketua Rizab Persekutuan iaitu Jerome Powell di Kongres AS yang akan diadakan pada hari Rabu, 24 Februari, serta data tahunan KDNK dan jumlah pesanan bagi barangan modal dan tahan lama di Amerika Syarikat yang akan dikeluarkan pada hari Khamis, 25 Februari; - GBP/USD. 100% indikator trend dan juga 85% pengayun pada H4 dan D1 jelas menunjukkan pertumbuhan. Baki 15% lagi pengayun memberikan isyarat pasangan ini memiliki lebihan belian. Majoriti penganalisis (75%) juga menantikan pembetulan ke bawah. Benar, pada pandangan mereka, ia tidak mungkin akan berlaku pada minggu depan, tetapi pada dua minggu terawal bulan Mac. Sokongan berada pada paras 1.3950, 1.3850, 1.3775, 1.3600.
Setakat ini pertumbuhan nilai matawang British masih lagi belum berakhir. Semuanya akan bergantung pada struktur masalah sama ada di AS atau di UK yang akan memberi lebih banyak tekanan kepada matawang negara mereka. Perkara ini bukan saja merujuk kepada pelonggaran kuantitatif mahupun kadar faedah, malah isu-isu dan juga hasil yang berkaitan dengan sekuriti kerajaan, serta risiko terhadap kadar inflasi tinggi akibat perbelanjaan belanjawan yang terlalu besar.
Kami telah nyatakan pada awal ulasan berkenaan data daripada pasaran buruh AS yang memberi kesan kepada pergerakan pasangan ini. Statistik pasaran buruh UK yang agak serupa dijangka akan dikeluarkan pada minggu depan, pada hari Selasa, 23 Februari. Jika keputusannya agak optimis, anda boleh jangkakan trend pertumbuhan berterusan pasangan GBP/USD. Perkara lain termasuklah ucapan oleh Perdana Menteri British sehari sebelum itu. Namun, kemungkinan besar, tiada yang khusus dalam ucapan Boris Johnson, dan beliau akan bercakap dengan penuh semangat mengenai kejayaan Kabinetnya dalam memerangi pandemik, kepantasan program vaksinasi, serta perkembangan mengenai kerjasama dengan EU selepas Brexit; - USD/JPY ... 104.40-105.40 adalah zon yang sering dikunjungi oleh pasangan ini sejak 30 minggu lalu. Hal ini membolehkan kami menganggapnya sebagai Pivot Point bagi saluran mendatar jangka sederhana antara 102.60-107.00. Selain itu, julat maksimum dagangan sebanyak 440 mata pada segmen setengah tahun sebenarnya tidaklah begitu baik. Pada bulan Oktober contohnya, pasangan ini memperoleh sebanyak 240 mata dalam tempoh satu hari saja.
Buat masa ini, hanya 35% penganalisis percaya bahawa pasangan itu belum mengakhiri pergerakannya ke sempadan atas julat dagangan tersebut. Benar, 75% daripada pengayun serta 80% daripada indikator trend pada D1 berpihak kepada mereka, dan ia memberi kelebihan kepada ramalan tersebut. Rintangan berada pada paras 105.70, 106.20, sasarannya ialah 107.00.
Pendapat berbeza diberi oleh 65% penganalisis, dan bilangannya bertambah kepada 80% jika beralih daripada ramalan mingguan kepada bulanan. Mereka disokong oleh bilangan indikator yang hampir sama, kali ini pada H4. Sokongan berada pada paras 105.00, 104.40, 103.60, sasaran mereka adalah 102.60.
Analisis grafik menunjukkan julat turun naik dagangan pasangan ini di antara 104.40-106.20 dan didominasi oleh sentimen bearish.
- Matawang Kripto. Lebih tinggi nilai bitcoin, semakin kurang pembeli yang ada di pasaran. Mereka yang berwaspada telah menjualnya pada Disember lalu, semasa nilai coin tersebut mencecah paras tertinggi dalam sejarah iaitu $20,000. Fasa penutupan posisi long yang seterusnya berlaku semasa nilai bitcoin melonjak pada paras $40,000. Hanya pelabur dan juga peminat kripto yang benar-benar tabah saja berjaya untuk berada pada paras $50,000.
Bitcoin kini memiliki lebihan belian. Namun setelah nilainya mencecah lebih daripada $55,000 pada petang Jumaat, 19 Februari, tiada sebarang jualan aktif yang berlaku. Pasaran kaku menunggu dengan penuh debaran. Isyarat yang membimbangkan kini sudah pun ditunjukkan.
Pertama, kelompok pembeli kian bertambah, naik daripada 18% kepada 35% sejak dua minggu lalu. Kedua, kira-kira 2/3 daripada pedagang membeli kontrak niaga hadapan kekal menggunakan leveraj, mengakibatkan kadar pembiayaan serta kos komisen yang lebih tinggi untuk mengekalkan posisi long. Ketiga, kadar perolehan untuk penghasil semakin berkurangan.
Menurut CoinDesk, keuntungan mingguan bagi penghasil bitcoin mencecah paras tertinggi dalam sejarah iaitu $354 juta antara 8 dan 14 Februari. Paras tertinggi sepanjang tujuh hari sebelum ini adalah $340 juta yang telah direkodkan pada Disember 2017. Walaupun situasinya agak positif dengan contoh yang ditunjukkan, saham Riot Blockchain Inc turun sebanyak 20% dan ianya berlaku dalam masa sehari saja iaitu pada 18 Februari.
Walau bagaimanapun, menurut beberapa orang penganalisis, tidak berbaloi untuk menunggu ketibaan musim dingin kripto. Walaupun jatuh ke paras yang agak rendah jika ianya berlaku, penurunan itu hanyalah pembetulan. Tambahan pula, terdapat sedikit kemungkinan nilai bitcoin akan bertumbuh antara $60,000-65,000 walaupun dengan inersia. Disebabkannya, satu gelombang pembelian baru boleh dicetuskan oleh FOMO - Sindrom Takut Rugi (Fear Of Missing Out). Lagipun, takut dan tamak begitu terkenal sebagai pendorong pasaran.
Lisa Edwards, adik kepada pengasas bitcoin iaitu Craig Wright telah menjangkakan nilai matawang kripto pertama itu akan melonjak ke paras $142,000. Berdasarkan pada Teori Gelombang Elliott, beliau merasakan nilai emas digital itu akan meningkat kepada $90,000 menjelang Mei 2021, turun ke paras $55,000 pada Januari 2022, dan melonjak ke paras $142,000 pada Mac 2023. Menurut Edwards lagi, pasaran matawang kripto dijangka akan mengikuti trend bearish selepas itu.
Walaupun terdapat kemungkinan pasangan BTC/USD akan terus bertumbuh dalam masa terdekat, anda perlu berhati-hati jika ingin membuat pembelian pada waktu begini. Kebanyakan penganalisis menganggap situasi sekarang agak berisiko dan mencadangkan untuk menunggu berlakunya pengunduran, dan hanya selepas itu membuka posisi long yang baru.
Kumpulan Analitik NordFX
Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.
Kembali Kembali