Ramalan Forex dan Matawang Kripto bagi 15 - 19 Februari, 2021

Terlebih dahulu, ulasan bagi minggu lepas:

  • EUR/USD. Menjadi kebiasaan ramalan bulanan lebih cepat menjadi kenyataan berbanding ramalan mingguan. Itulah juga yang berlaku pada kali ini. Jika diingat hanya 30% daripada penganalisis yang menjangkakan pertumbuhan pasangan EUR/USD mengikut perspektif mingguan. Beralih pada ramalan bulanan, mereka yang bersetuju sudah pun menjadi majoriti, 60%.
    Kami mula membincangkan paradoks hubung kait antara indeks saham dengan nilai dolar pada tujuh hari lalu. Apabila pandemik mula merebak pada hujung Februari lalu, korelasi songsang jelas kelihatan antara kedua-duanya: disebabkan oleh rangsangan fiskal (QE), kadar faedah yang rendah serta lambakan wang murah ke dalam ekonomi AS, kadar indeks saham S&P500, Dow Jones dan Nasdaq meningkat, manakala indeks dolar DXY - turun. Semua itu sememangnya logik.
    Kembali ke tahun 2021, segalanya menjadi terbalik. Berdasarkan data ekonomi yang memberangsangkan serta suntikan baru “vaksin” kewangan berjumlah $2 trilion yang dijangka akan dibuat, sentimen risiko dan juga kadar indeks saham terus mengalami pertumbuhan. Namun selari dengan itu, hasil bon jangka panjang Perbendaharaan AS dan nilai dolar juga bertumbuh.
    Namun kejutan pembalikan itu tidak berakhir di situ. Berdasarkan insentif fiskal yang sama serta kadar vaksinasi pantas di Amerika Syarikat, penganalisis di Wall Street Journal memperbaharui ramalan KDNK AS mereka bagi tahun 2021 daripada 4.3% kepada 4.9%. Di Eropah pula, perkara bertentangan yang berlaku: terdapat kelewatan dalam program vaksinasi mereka, satu demi satu negara-negara di Kesatuan Eropah mula mengetatkan langkah memerangi covid sekali lagi, seperti tiada pengakhiran bagi sekatan pergerakan. Disebabkan itu, Suruhanjaya Kesatuan Eropah merendahkan ramalan mereka ke atas ekonomi Eurozone kepada 3.9%. Namun dalam masa yang sama, nilai euro bertambah, manakala nilai matawang Amerika pula menyusut.
    Menurut beberapa orang penganalisis, semuanya disebabkan oleh polisi jangka panjang pihak Rizab Persekutuan AS yang tidak mahu menamatkan program QE mereka sehingga akhir 2021 serta keengganan mereka untuk menaikkan kadar faedah ke atas dolar sebelum 2023. Hal ini mendorong bukan saja pemulihan ekonomi di Amerika, malah di peringkat global, termasuklah di EU, menjadikan matawang euro nampak lebih menarik bagi sesetengah pihak, terutama sekali pelabur dari China. Minat China terhadap Eropah amat mendalam, dan selera mereka sentiasa bertambah hingga mampu memberi sokongan kepada permintaan matawang pan-Eropah.
    Akhirnya, setelah bermula pada paras 1.2050, pasangan EUR/USD naik 100 pip dan mencecah paras tertinggi mingguan di kedudukan 1.2150 pada hari Khamis, 11 Februari. Kemudian diikuti pula dengan pembetulan dan berakhir pada paras 1.2120;
  • GBP/USD. Statistik makro yang dikeluarkan nampak agak bercanggah. Disebabkan oleh wabak coronavirus, pengurangan pelaburan serta masalah berkenaan Brexit, kadar KDNK di UK mencatatkan nilai 9.9%, dan ia adalah kadar paling rendah sejak lebih 300 tahun lalu. Dalam masa yang sama, kadar KDNK bulanan serta sukuan adalah lebih baik daripada yang diunjurkan. Kadar pertumbuhan KDNK pada Q4 2020 adalah berjumlah +1%. Nilai pengeluaran industri adalah lebih rendah berbanding ramalan, tetapi laporan imbangan dagangan menggembirakan para pelabur.
    Polisi kewangan Bank of England yang kukuh, kadar faedah positif, serta negara pertama di Eropah dan yang ketiga di dunia (selepas Israel dan UAE) dari segi kadar penerimaan vaksinasi juga memberi kelebihan kepada pound. Semasa ulasan ini dibuat, sebanyak 20.67% daripada populasi di negara itu sudahpun mendapat suntikan vaksin (peratusan di AS adalah 14.02%).
    Jika diingat majoriti penganalisis (65%) juga memihak kepada matawang British. Unjuran utama menjangkakan pasangan ini akan berjaya, setelah menembusi rintangan pada paras 1.3750, ia naik ke paras 1.3800, dan mungkin 25-50 mata lebih tinggi selepas itu. Jadi, semua perkara tersebut benar-benar berlaku: paras tertinggi mingguan adalah 1.2865, dan kedudukan terakhir pasangan GBP/USD adalah pada paras 1.3850.
  • USD/JPY. Pergerakan pasangan ini pada kebanyakan masanya bukan bergantung pada perkara yang berlaku di Jepun, tetapi di Amerika Syarikat, iaitu pergerakan indeks saham dan juga hasil bon negara Amerika serta indeks dolar DXY. Perkara yang sama berlaku pada minggu lalu.
    Indeks DXY naik ke paras 91.21, kadar USD/JPY bertambah kepada 105.66 pada 8 Februari. Pada 10 Februari pula, indeks dolar turun kepada 90.26, nilai pasangan itu juga turun ke paras terendah mingguan iaitu 104.40. Pada 12 Februari, kita dapat lihat peningkatan pada indeks DXY ke paras 90.71, dan pasangan USD/JPY pula menduduki kedudukan 105.17, kemudian turun sedikit selepas itu: indeks menunjukkan kadar 90.39, pasangan menunjukkan kedudukan 104.95. Justeru, kepada sesiapa yang mahu mencuba indeks DXY sebagai indikator utama bagi pasangan ini, anda bolehlah berbuat demikian;
  • Matawang Kripto. Pada penghujung 2020, Forbes menyusun senarai hartawan hasil perniagaan matawang kripto dengan nilai modal melebihi $1 bilion. Menduduki tiga tempat teratas adalah CEO Coinbase dengan $6.5 bilion, ketua FTX iaitu Sam Bankman-Fried dengan $4.5 bilion dan juga pengasas bersama Ripple iaitu Chris Larsen dengan $2.9 bilion. Keseluruhannya, Forbes menyenaraikan 11 orang hartawan, bilangannya kini mungkin lebih lagi memandangkan lonjakan nilai aset digital itu yang berlaku antara Januari-Februari. Cukup untuk mengatakan bahawa jumlah keseluruhan modal pasaran matawang kripto naik sebanyak 87% dalam tempoh kurang sebulan setengah bagi tahun 2021, daripada $776 bilion kepada $1,452 billion.
    Minggu lalu adalah antara minggu paling menakjubkan untuk tahun ini. Lonjakan bermula dengan berita mengenai pembelian bitcoin sebanyak $1.5 bilion oleh Tesla. Dalam masa yang sama, ketua syarikat itu, Elon Musk, telah menyatakan rancangan beliau untuk menjual kereta jenamanya menggunakan matawang kripto tidak lama lagi. Nilai bitcoin naik sebanyak 23% selepas berita itu disiarkan pada 8 Februari.
    Ianya tidak berakhir di situ. Gergasi bayaran global iaitu MasterCard telah mengumumkan rancangan mereka untuk menyediakan kemudahan bagi menerima bayaran dalam bentuk matawang kripto kepada para peniaga bermula lewat tahun ini. Hasil daripada itu, nilai bitcoin sekali lagi memperbaharui rekod tertingginya, mencecah $48,930 pada petang Jumaat, 12 Februari. Jumlah keseluruhan modal pasaran BTC naik kepada $885 bilion pada ketika itu dan buat pertama kali, jumlahnya melebihi wang yang dibekalkan oleh negara besar seperti Rusia.
    Indeks Fear & Greed Kripto naik kepada 92 (ia berada pada bacaan 81 pada minggu lalu) dan berada di zon lebihan belian. Dalam masa yang sama, Indeks Dominasi BTC menurun daripada 70.36% kepada 61.06% sejak bermulanya tahun ini. Namun, menurut kebanyakan penganalisis, ia tidak bermaksud kemerosotan sikap pelabur terhadap bitcoin, tetapi lebih kepada pertambahan minat terhadap altcoin.
    Ia mengenai pelancaran niaga hadapan Ethereum di Chicago Mercantile Exchange (CME) pada hari Isnin, 8 Februari. Perolehan yang diterima mencecah $30 juta pada hari pertama, manakala minat secara terbuka - $20 juta, petunjuk kepada kestabilan minat para pelabur terhadap token ini. Jumlah keseluruhan modal pasaran ETH meningkat sebanyak 32% sejak permulaan tahun dan jumlahnya lebih daripada $203 bilion pada 12 Februari.
    Satu lagi coin utama yang sudahpun kami beri perhatian pada ulasan sebelum ini adalah Litecoin. Sepanjang tiga bulan yang lalu, jumlah terkumpul bagi minat terbuka niaga hadapan LTC telah bertambah sebanyak 285% kepada $584 juta. Walaupun bahagian Litecoin dalam jumlah keseluruhan modal pasaran matawang kripto agak kecil (berada pada kedudukan ke-8), kini ia menduduki tangga ke-3 dalam kalangan lain-lain terbitan di belakang bitcoin and Ethereum.

 

Untuk minggu hadapan pula, setelah merumuskan pendapat beberapa penganalisis dan juga ramalan yang telah dibuat menerusi pelbagai kaedah teknikal serta analisis grafik, ramalan kami adalah seperti berikut:

  • EUR/USD. Sepanjang minggu hadapan, sambutan Tahun Baru berlangsung di China, dan ia akan menyebabkan sebahagian besar jumlah dagangan hilang pada pasaran global. Namun, ia tidak menjanjikan keadaan yang tenang atau pengurangan kadar turun naiknya. Walaupun buat maa ini, para pelabur sedang berada di persimpangan. Setelah naik mendadak pada bulan Januari, indeks saham di AS sedikit demi sedikit bergerak ke arah penyatuan dan dilihat berada di zon lebihan belian. Tiada sebarang kejutan oleh pihak Rizab Persekutuan dijangka akan berlaku dalam masa terdekat, dan laporan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka pada hari Khamis 18 Februari mungkin tidak akan memberi apa-apa makna. Pada hari yang sama, laporan mesyuarat ECB berkenaan polisi kewangan mereka akan dikeluarkan, tetapi ia mungkin akan dipenuhi dengan frasa-frasa umum yang diperkemaskan. Justeru, dorongan utama bagi pasangan EUR/USD sekali lagi adalah berita mengenai kejayaan menentang wabak Covid-19 di kedua-dua buah negara.
    Bagi penganalisis pula, 60% daripada mereka, bersama-sama dengan analisis grafik pada H4 dan D1 menjangkakan penurunan pasangan ini, sekurang-kurangnya ke paras sokongan 1.2050. Jika berjaya dilepasi, sasaran bear yang berikutnya adalah paras terendah pada 5 Februari iaitu 1.1950. Sokongan paling hampir berada di zon 1.2100.
    Baki 40% lagi penganalisis memihak kepada senario bertentangan. Walau bagaimanapun, jika beralih kepada ramalan bulanan daripada ramalan mingguan, bilangan penyokong bull meningkat kepada 60%. 85% indikator trend pada H4 dan D1 juga berwarna hijau. Namun bacaan pengayun pada kedua-dua tempoh masa tidak boleh dianalisis: warna merah, hijau dan kelabu neutral bercampur sepenuhnya. Paras rintangan paling hampir berada pada 1.2150. Sasaran bull bagi pasangan ini pertama sekalinya adalah untuk kembali ke zon di antara 1.2200-1.2300, dan kemudian ke paras tertinggi bulan Januari iaitu 1.2350.
    Untuk kalendar ekonomi minggu ini pula, selain daripada mesyuarat Rizab Persekutuan dan juga ECB yang telah dinyatakan tadi, kami menunggu: data KDNK Eurozone - Selasa, 16 Februari, pada hari Rabu, 17 Februari - data jualan runcit di Amerika Syarikat (kenaikan ketara dijangka dari -0.7% kepada +0.7%), manakala menjelang penghujung minggu, pada hari Jumaat, 19 Februari, statistik ke atas aktiviti perniagaan Markit di Jerman dan juga EU akan diketahui (walaupun tidak ketara, pertumbuhan masih lagi dijangka akan berlaku);

  • GBP/USD. Pertumbuhan kadar KDNK sebanyak 1% bagi setiap suku membawa maksud negara ini boleh bebas daripada kemelesetan. Kadar kejayaan vaksinasi yang tinggi juga boleh menyumbang kepada perkara ini (walaupun terdapat kebimbangan terhadap strain coronavirus yang baru). Perdana Menteri Boris Johnson merancang untuk melancarkan pelan bagi mengakhiri tempoh kuarantin pada hujung bulan ini, atau mungkin pada 22 Februari, dan ia sepatutnya akan menjelaskan lebih lanjut tentang prospek pemulihan ekonomi di UK.
    Dalam masa yang sama, pendapat para penganalisis terbahagi seperti berikut: nilai pound mencecah paras tertinggi dalam tempoh 34 bulan, dan 45% penganalisis percaya bahawa inilah masanya untuk menghentikan pertumbuhan dan menurunkan sedikit nilainya. 20% pula memilih pertumbuhan berterusan pasangan ini, manakala baki 35% lagi mengambil posisi neutral. 100% indikator trend dan 75% pengayun pada H4 dan D1, bersama-sama analisis grafik pada H4 menunjukkan pertumbuhan, mensasarkan paras 1.3900 dan juga 1.3950. Baki 25% lagi pengayun memberi isyarat bahawa pasangan ini memiliki lebihan belian.
    Bagi analisis grafik pada D1, ia menunjukkan lantunan daripada paras rintangan 1.3865 dan penurunan ke paras sokongan di zon 1.3700 pada awalnya, kemudian 1.3630 serta 1.3575.
    Bagi statistik ekonomi, anda perlu memberi perhatian kepada data pasaran pengguna di UK yang akan dikeluarkan pada hari Rabu, 17 Februari, serta aktiviti perniagaan dalam sektor perkhidmatan pada hari Jumaat, 19 Februari;
  • USD/JPY. Analisis grafik pada D1 menjangkakan pergerakan pasangan ini di saluran yang selari dengan Pivot Point 104.85 sepanjang bulan ini. Selain itu, ia akan naik ke sempadan atas saluran di kedudukan 105.75 pada mulanya, dan kemudian turun ke sempadan bawah pada 104.40. Pada H4, amplitud ayunan adalah lebih rendah, daripada 104.85 sehingga 105.30.
    Selain daripada 75% indikator trend pada D1 yang berwarna hijau, bacaan lain-lain indikator dan juga pengayun adalah agak mengelirukan. Ia juga sukar untuk membuat sebarang rumusan daripada para penganalisis yang sama-sama berbahagi pendapat: 40% memilih pertumbuhan pasangan ini, 30% lagi memilih penurunan dan jumlah peratusan yang sama memilih pergerakan mendatar.
    Data KDNK bagi suku ke-4 tahun 2020 yang akan dikeluarkan oleh Kabinet Menteri Jepun pada hari Isnin, 15 Februari mungkin akan mempengaruhi pembentukan trend jangka pendek pasangan USD/JPY, terutama sekali jika kadar indikator ini terlalu banyak bezanya dengan kadar yang dijangka iaitu +2.3%;
  • Matawang Kripto. Kami telah nyatakan sejak dua minggu lalu mengenai kesediaan bitcoin untuk naik mencecah ketinggian $50,000. Nilainya yang naik ke paras $48,930 pada 12 Februari lalu adalah satu petunjuk jelas bahawa ramalan itu adalah tepat, dan is mendapat sokongan 80% penganalisis mengikut perspektif bulanan.
    Pertumbuhan nilai bitcoin serta coin-coin yang lain telah membawa naik keseluruhan pasaran kripto. Para peserta pasaran itu menantikan pengumuman tentang kesediaan lain-lain syarikat S&P500 yang disenaraikan di NYSE untuk bekerja dengan aset digital dengan mengikuti jejak langkah Tesla dan MasterCard. Sebagai contoh, Bank of New York Mellon menyatakan mereka mungkin membenarkan matawang digital untuk melalui rangkaian kewangan sama yang digunakan oleh aset kewangan tradisional.
    Hakikat bahawa setiap syarikat di Amerika akan mengikut jejak langkah Tesla tidak lama lagi ada dinyatakan oleh pengasas bank kripto Galaxy Digital iaitu Mike Novogratz dalam temubualnya dengan Bloomberg. Menurut hartawan itu, hal tersebut akan membantu nilai bitcoin naik kepada $100,000 menjelang akhir tahun ini.
    Malah, nilai pasangan BTC/USD mungkin akan naik ke paras $600,000 untuk jangka masa panjang. Setidak-tidaknya, inilah pendapat para penganalisis di syarikat kewangan dan pelaburan Guggenheim Partners. Menurut pengarah syarikat pelaburan itu, Scott Minerd, semuanya akan bergantung kepada bilangan coin yang ada di domain awam. “Nilai matawang kripto boleh naik ke paras yang amat tinggi. Kita mungkin bercakap tentang $400,000, atau bahkan $600,000 bagi setiap coin… Dulu bitcoin adalah sesuatu yang dilarang bagi pelabur berinstitusi, namun kini segalanya sudah berubah,” jelas Minerd.
    Menurut para penganalisis, kebimbangan yang timbul adalah disebabkan oleh pertumbuhan mendadak aset tersebut beberapa minggu kebelakangan ini. Mungkin apa yang diperkatakan adalah berkenaan spekulasi penglibatan pelabur berinstitusi yang mampu mengawal nilai coin dengan bantuan daripada pelaburan besar mereka. Setakat ini, bitcoin berada di dalam situasi sukar kerana ia akan kembali mengikuti trend negatif jika pelabur-pelabur besar menarik pelaburan mereka. Situasi ini berkemungkinan tidak akan berlaku, jelas pengarah Guggenheim Partners, namun ia juga perlu diambil kira.

 

Kumpulan Analitik NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.

Kembali Kembali
Laman web ini menggunakan kuki. Ketahui lebih lanjut tentang Dasar Kuki kami.