Ramalan Forex dan Matawang Kripto bagi 11 – 15 November, 2019

Terlebih dahulu, ulasan bagi minggu lepas:

  • EUR/USD. Pada hari Khamis, 7 November, pasaran di AS memperbaharui rekod tertingginya selepas AS dan China dilaporkan bersedia untuk menamatkan duti sebagai sebahagian daripada Perjanjian Perdagangan yang telah mereka tandatangani. Para spekulator tidak lagi memandang alat dagangan selamat yang menjadi kebiasaan seperti bon, yen dan juga emas. Matawang Eropah juga menjadi lebih murah berbanding dolar: para pelabur menjangkakan indikator makroekonomi di AS akan bertambah baik selepas perang dagangan berakhir. Walaupun masih jauh lagi untuk perjanjian tersebut dipersetujui sepenuhnya, penganalisis percaya bahawa Donald Trump tidak akan membuat sebarang keputusan secara tiba-tiba menjelang pilihanraya presiden AS yang akan tiba tidak lama lagi.
    40% penganalisis, turut disokong oleh analisis grafik memilih penurunan nilai Euro pada minggu lalu. 10% pengayun menunjukkan matawang Eropah tersebut telah dibeli secara berlebihan, memberi isyarat trendnya akan berubah. Jika berlakunya penurunan ke sempadan bawah di saluran sisi antara 1.1075-1.1175, senario bearish akan mengambil alih hanya jika pasangan ini turun ke paras sokongan di zon 1.1000. Realitinya apa yang berlaku adalah: pasangan ini berada pada paras 1.1016 menjelang penghujung minggu, dan 1.1020 menjadi paras terakhir;
  • GBP/USD. Seperti yang dijangka, Bank of England mengekalkan kadar faedahnya pada 0.75%. Namun apa yang penganalisis gagal untuk ramalkan adalah dua daripada sembilan ahli Jawatankuasa polisi kewangan mahu kadar tersebut dikurangkan kepada 0.50%. Dua undi ini sudah cukup untuk menyebabkan pound kerugian lebih daripada 70 mata.
    Secara umumnya, seperti yang diramal, nilai pound menyamai apa yang berlaku kepada Euro. Jika pasangan EUR/USD kerugian hampir 150 mata dalam tempoh lima hari, matawang British ini rugi 170 mata, mengakhiri minggu pada paras 1.2780;
  • USD/JPY. Seperti yang dinyatakan di atas, perkembangan dalam rundingan antara AS-China mencerminkan keinginan para pelabur terhadap yen sebagai matawang selamat. Hasilnya, nilai matawang Jepun turun berbanding dolar secara maksimum pada hari Khamis, 7 November sebanyak 130 mata. Pasangan ini mengakhiri tempoh lima hari dagangan pada paras 109.22;
  • Matawang Kripto. Jika berlatar belakangkan berita mampu memberi impak besar terhadap sebut harga matawang digital, kesannya pada minggu lalu tidaklah begitu memberangsangkan. Justeru, Bitcoin hanya bergerak perlahan-lahan di sepanjang garis penyatuan pada koridor antara $9,100-9,500 sehingga hari Jumaat. Namun, tanggal 8 November memberi kekecewaan kepada para pelabur dan pedagang yang membuka posisi long. Nilai matawang kripto rujukan tersebut jatuh mendadak, dan setelah kerugian 6% daripada nilai asalnya dalam tempoh beberapa jam saja, ia menemui paras terendah setempat pada $8,680.
    Sukar untuk menegaskan itu adalah punca kepada penurunan nilainya. Para penggemar analisis teknikal membuat rujukan ke atas segitiga sempit pada carta BTC/USD selama 4 jam. Ia mungkin berpunca daripada berita mengenai penggodaman ke atas bursa matawang kripto – kejadian kali ke tujuh pada tahun ini. Kali ini, penggodam berjaya membuat pengeluaran dana dalam 23 aset digital berjumlah $500 ribu daripada bursa di Vietnam, VinDAX.
    Bercakap mengenai aset digital. Keadaan pada minggu lalu agak menarik kerana sebilangan altcoin terkenal tidak mengikuti pergerakan matawang kripto utama tetapi menunjukkan dinamik mereka sendiri. Tidak seperti Bitcoin yang bergerak ke bawah, Ethereum (ETH/USD) mengakhiri tempoh tujuh hari dagangan pada paras sama ia bermula, manakala Litecoin (LTC/USD) pula menunjukkan peningkatan sebanyak 5%.
    Keadaan Ripple adalah berbeza. Harus diingat, walaupun dengan usaha yang dibuat pihak pengurusan Ripple, keadaan token ini semakin mengecewakan. Nilainya mengecil sebanyak 90% sepanjang 2018-2019. Minggu lalu juga tidak banyak bezanya. Turun naik mingguan bagi pasangan XRP/USD adalah sebanyak 14%, dan nilainya turun ke paras 0.2710 pada hari Jumaat, 7 November.

 

Untuk minggu hadapan pula, setelah merumuskan pendapat beberapa penganalisis dan juga ramalan yang telah dibuat menerusi pelbagai kaedah teknikal serta analisis grafik, ramalan kami adalah seperti berikut:

  • EUR/USD. Kami menjangkakan akan berlakunya beberapa peristiwa penting yang akan mempengaruhi ekonomi pada minggu hadapan. Antaranya adalah ucapan ketua Rizab Persekutuan Jerome Powell di Kongres AS pada pertengahan minggu perlu diberi tumpuan. Selain itu, pembentukan trend semasa mungkin akan dipengaruhi oleh data inflasi di Amerika Syarikat yang akan dikeluarkan pada hari Rabu, 13 November, data KDNK Eurozone yang dijangka akan diketahui pada hari Khamis, 14 November, serta data jualan runcit di Amerika Syarikat pada hari Jumaat, 15 November.
    Perhatian khusus harus diberikan kepada kadar inflasi di Amerika Syarikat kerana jika kadar untuk bulan Oktober adalah lebih rendah daripada apa yang telah diramal, pihak Rizab mungkin akan mengambil keputusan untuk mengurangkan kadar faedah mereka pada bulan hadapan, dan ia merupakan pengurangan kali keempat untuk tahun ini.
    Sudah tentu, pasaran akan melihat perkembangan perang dagangan antara AS-China dengan berhati-hati. Terdapat kebarangkalian yang amat tinggi untuk meneruskan sikap optimis berkaitan dengan keputusan kedua-dua pihak dalam menamatkan tarif kastam pada minggu ini. Para pelabur juga menjangkakan beberapa khabar positif dari pertemuan Presiden AS Trump dengan Presiden China Xi Jinping pada bulan Disember nanti. Sebab itu 65% penganalisis memilih pengukuhan nilai dolar yang lebih tinggi serta penurunan nilai Euro ke zon antara 1.0940-1.0990. Sasaran berikutnya adalah pada paras terendah 1 Oktober iaitu pada 1.0880.
    Analisis grafik serta indikator juga menunjukkan kesepakatan yang jarang-jarang berlaku: 90% pengayun serta 100% indikator adalah berwarna merah.
    Hanya 20% penganalisis dan juga 10% pengayun mengunjurkan pertumbuhan pasangan ini, memberikan isyarat ia telah dijual secara berlebihan. Zon rintangan paling hampir adalah pada zon 1.1075, kemudian pada 1.1110 dan 1.1180.
    Akhir sekali, baki 15% penganalisis berpendapat akan berlakunya trend ke sisi. Sepanjang empat minggu yang lalu, pasangan ini telah membentuk puncak berganda, dan penganalisis menjangkakan ia akan kekal berada di bawahnya untuk beberapa ketika, dan bergerak di julat antara 1.0990-1.1075;

  • GBP/USD. Ekonomi di UK sedang mengalami kemerosotan yang berterusan akibat daripada ketidaktentuan Brexit. Berlakunya penurunan dalam industri pembinaan sebanyak 1.3% pada suku kedua tahun ini dan juga kurangnya hasil pengeluaran industri yang antara puncanya adalah disebabkan oleh penutupan beberapa kilang kereta. Atas sebab ini, data KDNK di UK bagi suku ketiga yang akan dikeluarkan pada hari Isnin, 11 November nanti mungkin mampu melonjakkan nilai matawang British. Menurut jangkaan, pertumbuhan KDNK tersebut mampu mencapai +0.3% berbanding -0.2% pada suku sebelumnya, dan kemudian menolak pasangan ini ke atas.
    Matawang dolar masih lagi menjadi pendorong utama bagi pasangan GBP/USD. Seperti dalam kes Euro, 65% penganalisis, analisis grafik pada D1 serta majoriti indikator menunggu pasangan ini untuk mengukuhkan kedudukannya serta penurunan nilai pound. Paras sokongan berada pada 1.2700, 1.2650 dan 1.2550.
    Baki 35% penganalisis pula percaya selepas ia mencapai had terendah sepanjang tiga minggu di saluran sisi antara 1.2770-1.3000, pasangan ini akan mula bergerak ke atas. 15% pengayun pada H4 serta D1 bersetuju dengan ramalan tersebut dengan memberi isyarat pasangan ini telah dijual secara berlebihan;
  • USD/JPY. Situasi yang dihadapi matawang Jepun hampir sama dengan Euro dan juga Pound. Ia juga mendapat tekanan hebat daripada penambahbaikan indikator makroekonomi di Amerika Syarikat dan juga China selepas mereka menandatangani “Perjanjian Damai”.
    Data pertumbuhan KDNK Jepun bagi suku ketiga akan dikeluarkan pada hari Khamis, 14 November. Para penganalisis sudahpun meramalkan kelembapan ekonomi di Jepun. Ini memberikan satu lagi sebab nilai matawang yen Jepun yang lemah dalam jangka masa pendek, serta mendapat persetujuan 65% penganalisis. Paras rintangan paling hampir adalah pada 109.50, kemudian 110.00 dan akhir sekali 110.70.
    Hanya 10% penganalisis memilih pengukuhan nilai yen serta penurunan pasangan ini, manakala 25% lagi percaya pasangan ini akan bergerak ke arah sisi di sepanjang Pivot Point  pada 109.00;
  • Matawang Kripto. Arah pergerakan Indeks Fear & Greed Kripto Bitcoin agak melencong sedikit dari nilai purata dan bergerak menghampiri zon takut pada penghujung minggu. Jika mengikut tafsiran biasa, semua ini akan menyebabkan seseorang itu memikirkan untuk membuka posisi long. Namun, para pelabur kini lebih berhati-hati dan juga menjangkakan semua kebarangkalian jika berlakunya kejatuhan harga yang mendadak.
    60% penganalisis juga kekal pesimis. Menurut penganalisis di Bloomberg, terdapat kebarangkalian nilai matawang kripto utama untuk jatuh ke paras $8,000 sebelum penghujung tahun ini. Seperti yang telah dinyatakan, pertumbuhan pasangan BTC/USD boleh terbantut akibat jualan yang berpunca daripada perasaan takut “rugi”. Namun, walaupun begitu, 40% penganalisis percaya bitcoin masih boleh mencapai sasaran yang telah ditetapkan untuk tahun 2020 iaitu di zon $10,500-11,000.
    Bagi mereka yang tidak mahu berasa gementar serta kerap melihat jadual sebut harga, ini nasihat daripada Charlie Shrem, Pengarah bursa bitcoin di Amerika, BitInstant. Beliau berpendapat, “cara terbaik untuk melabur dalam bitcoin adalah dengan menyembunyikan 5 ke 10 BTC dalam walet simpanan, lokasi yang sukar untuk anda akses dalam tempoh 20 tahun”. Beliau menambah lagi, “saya percaya, 5-10 Bitcoin yang anda simpan itu mampu untuk memberi anda hidup yang lebih baik pada 20 tahun akan datang. Malah, Bitcoin juga akan terselamat daripada serangan nuklear, tetapi wang kertas dan bank pula akan hancur".

 

Roman Butko, NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.

Kembali Kembali
Laman web ini menggunakan kuki. Ketahui lebih lanjut tentang Dasar Kuki kami.